
KEBENARAN merentas negeri di Sabah akan diputuskan menerusi mesyuarat kabinet negeri itu yang akan diadakan pada Rabu.
Keputusan itu dilakukan susulan keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan perjalanan itu bermula Isnin.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan sabah Datuk Masidi Manjun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 sabah akan mempertimbang sebaiknya keputusan Kerajaan Persekutuan.
"Kita juga akan mengemukakan cadangan bersesuaian kepada Kabinet negeri pada mesyuarat tersebut.
"Peratusan penduduk dewasa sabah yang belum mencapai 90 peratus vaksinasi lengkap Covid-19 yang merupakan prasyarat rentas negeri kerajaan Persekutuan dan ia akan diambil kira dalam membuat sebarang keputusan," katanya.
Tambahnya lagi, pertimbangan akan dibuat sewajarnya demi kepentingan semua pihak terutama rakyat Sabah.
Sementara itu, Masidi juga berkata kes harian Covid-19 sabah mencatat penurunan kepada 562 kes berbanding 761 Sabtu.
Jelasnya, beliau menasihati semua penduduk supaya kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kes tidak meningkat.
"Seperti yang kerap diingatkan, kejayaan mengawal penularan baharu yang akan mengakibatkan peningkatan kes banyak berkait rapat dengan tahap pematuhan masyarakat terhadap semua SOP yang berkuat kuasa.
"Secara perbandingan, peratusan kes yang dikesan melalui saringan bergejala kekal tingggi hari ini, hampir 34 peratus, ini satu peringatan kepada masyarakat agar sentiasa mematuhi semua SOP sepanjang masa bagi mengelak dijangkiti virus COVID-19," ujarnya.
Hurai beliau lagi, daripada kes yang direkodkan hari ini juga, kategori 2 kekal kumpulan terbesar iaitu hampir 79 peratus (443 kes), Kategori 1 sebanyak 14.8 peratus (83 kes), Kategori 3 seramai empat orang, Kategori 4 dan 5 masing-masing tiga orang manakala kes selebihnya masih dalam siasatan.
Berdasarkan Perkara 6: Imigresen, Perjanjian Malaysia 1963, sebarang kebenaran kemasukan ke sabah memerlukan persetujuan daripada kerajaan negeri.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kebenaran untuk individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula esok.
Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW Kementerian Kesihatan, sehingga 11.19 pagi tadi hanya 64.6 peratus penduduk sabah telah lengkap diberikan vaksinasi COVID-19. — Bernama