POLIS boleh melakukan pemeriksaan secara rawak untuk rekod vaksinasi kepada mana-mana individu yang merentas negeri meskipun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di laluan sempadan.
Pekara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menyatakan bahawa perkara itu bergantung kepada budi bicara pihak polis untuk melakukan pemeriksaan tersebut di mana-mana sahaja.
"Sebagai contoh polis boleh membuat pemeriksaan rekod vaksin MySejahtera kepada mereka yang singgah di kawasan rehat dan rawat (R&R) atau di kedai makan.
"Ia tidak bermaksud polis akan menunggu mereka di sana tetapi ia adalah tugas yang boleh dilaksanakan atas keperluan bagi memastikan mereka yang merentas negeri sudah lengkap dua dos vaksin," katanya pada sidang media Khas Perdana Menteri pada Ahad.
Tambahnya lagi, pihak polis juga boleh memeriksa rekod vaksinasi kepada individu semasa melakukan SJR jenayah mahupu trafik.
Sementara itu, Ismail turut memberitahu bahawa orang ramai tidak perlu mendapatkan keputusan ujian pemeriksaan ujian Covid-19 jika mahu merentas negeri tetapi sebaliknya melakukan pemeriksaan sendiri.
Katanya, perkara itu bergantung kepada tanggungjawab diri sendiri untuk memastikan diri mereka sihat dan tidak terjangkit virus.
"Jika ada simptom seperti demam, batuk atau lain-lain sebaiknya tangguh dulu perancangan untuk pulang ke kampung, sebaiknya lakukan pemeriksaan dengan menggunakan kit ujian kendiri untuk pastikan tiada jangkitan Covid-19.
"Kita tidak wajibkan ujian swab jika mahu merentas negeri tetapi rakyat perlu mengambil tanggungjawab untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) dan membendung penularan wabak kepada orang yang mereka sayang," ujarnya. — Majoriti
