Apa yang perlu dilakukan jika jadi mangsa gangguan seksual


GANGGUAN seksual seorang penjawat awam terhadap seorang pekerja sebuah kedai vape di ibu kota baru-baru ini mengundang kritikan netizen.
ISU gangguan seksual yang melibatkan seorang penjawat awam terhadap seorang perempuan yang merupakan pekerja di salah sebuah kedai vape di ibu kota baru-baru ini mendapat perhatian dan kritikan netizen yang berang melihat kejadian itu.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1 tengah hari ketika mangsa yang berusia 18 tahun itu kerja berseorangan di kedai berkenaan itu amatlah menjijikkan.

Wanita seharusnya dilindungi, bukannya dijadikan sebagai tempat untuk melepaskan nafsu semata-mata apatah lagi si pelaku itu didakwa merupakan seorang tentera yang menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan dan keteraman awam.

Isu gangguan seksual yang sering berlaku di tempat awam sememangnya semakin menjadi-jadi terutamanya melibatkan kaum wanita.

Adakalanya gangguan seksual ini juga berlaku tanpa mangsa sedar dan tidak tahu apakah tindakan yang boleh diambil selepas menjadi mangsa.

Salah seorang pengguna Facebook, Iesya Toh berkongsi beberapa tindakan yang boleh dilakukan seseorang individu sekiranya menjadi mangsa gangguan seksual.


Katanya, adalah penting untuk orang ramai mengetahui jenis-jenis gangguan seksual yang berlaku untuk melindungi diri daripada pelaku yang tidak bertanggungjawab.

"Beritahu pelaku bahawa perbuatan mereka ke atas diri anda tidak dibenarkan. Rekodkan insiden berkenaan dengan mengenalpasti indentiti pelaku, masa dan tarikh, lokasi dan jenis gangguan yang dilakukan.

"Seterusnya catatkan juga maklumat saksi yang ada di tempat kejadian. Dapatkan sokongan emosi daripada keluarga dan orang sekeliling dan buat laporan polis secepatnya.

"Selain itu dapatkan bantuan persatuan atau NGO untuk mendapatkan sokongan jika perlu," tulisnya. — Majoriti