'Ramai murid sudah tak mahu ke sekolah, nyawa bukannya ada spare part'


IBU bapa menghantar anak mereka menaiki bot penambang pada awal pagi untuk ke sekolah yang terletak di pusat bandar Labuan. — Bernama

KEPUTUSAN Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membuka semula sekolah di seluruh negara secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) tetap tidak dipersetujui netizen.

Selain ada dalam kalangan pengguna sosial yang salah faham serta beranggapan sesi itu bakal dilaksanakan sepenuhnya bermula 3 Oktober ini, ada juga netizen yang tidak bersetuju apabila penggal persekolahan kini dilanjutkan hingga Mac tahun depan.

Seorang pengguna Facebook, Shamala Sham berkata, KPM harus mengkaji semula sesi persekolahan yang akan tamat pada awal tahun depan kerana ia tidak adil bagi pelajar.

Pendapatnya turut disokong oleh seorang lagi netizen, Muhammad Zaheer Khan yang berasakan tidak perlu menamatkan penggal persekolahan sehingga Mac 2022.

"Anak-anak sudah habis silibus, ada yang dah ulang semula. Apa perlu panjangkan penggal ini? Tamatkan seperti biasa dan mulakan seperti biasa. Bagi anak-anak patuh kelas online dengan semampu yang boleh," tulisnya.

netzkorner

ANTARA komen yang ditinggalkan netizen di Facebook.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Facebook, Abu Ammar percaya pandemik Covid-19 bukan saja membawa maut malah telah mematikan motivasi murid untuk meneruskan pelajaran terutamanya yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan malaysia (STPM).

"Sedih bila murid WhatsApp kata dia tak mahu sekolah dah...Buntu memikirkan nasib mereka....Hanya mampu berfikiran positif, mungkin rezeki mereka dekat tempat lain dan bukan dalam pendidikan," tulisnya.

Bagi Mamy Chantek, dia cukup bimbang dengan risiko yang terpaksa dihadapi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah memandangkan kes harian Covid-19 masih tinggi.

"Jangan merisikokan kanak-kanak yang belum divaksin. Ilmu kita dapat cari, kalau nyawa mana kita dapat ganti macam tayar kereta dan spare part? Harap maklum dengan kebimbangan kami sebagai ibu bapa," jelasnya.

Kebimbangan yang sama turut disuarakan seorang lagi pengguna Facebook, Syeeda DS khususnya bagi guru yang memiliki anak kecil namun terpaksa kembali mengajar di sekolah.

"Yang kecil mungkin main game, tapi yang remaja? Kalau ada adik-beradik lelaki dan perempuan yang ditinggalkan... Nauzubillah jangan jadi apa-apa," getusnya risau.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata, jika negeri itu berada dalam Fasa Satu PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit.

Beliau menjelaskan perkara itu kerana KPM mendapati masih ada yang mengganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Oktober ini, meskipun perincian mengenainya sudah dijelaskan pada Ahad.

Radzi dilaporkan berkata, bagi negeri berada di Fasa Dua PPN pula, pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini.

"Untuk negeri di bawah Fasa Tiga PPN, selain daripada MBK di SKPK dan PPKI, kita akan masukkan (melibatkan) murid prasekolah, pelajar Tingkatan Lima dan juga pelajar STPM lain.

"Manakala untuk negeri di bawah Fasa Empat PPN - dua minggu pertama bermula daripada 3-17 Oktober, mereka yang berada di sekolah adalah sama seperti di Fasa Tiga, sebelum kita memperluaskannya kepada murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula 17-31 Oktober, diikuti murid Tahun Empat, Lima dan Enam (di akhir Oktober),” katanya.

Bagi pengoperasian sekolah menengah di fasa itu pula, Radzi berkata, sesi pembelajaran akan dimulakan oleh pelajar Tingkatan Lima dan Enam iaitu dari 3-17 Oktober dan selepas itu, disusuli secara berperingkat oleh pelajar tingkatan tiga, empat, satu dan dua.

Katanya, kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti hanya 50 peratus dalam kelas ini adalah demi memastikan murid dan pelajar sekolah dapat terus rapat dengan sekolah serta dapat hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Radzi Jidin, sekolah, operasi, pemantauan, PPN,