BARU-BARU ini, kecoh tentang peguam dan aktivis, Siti Kasim mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad memakai jam tangan mewah berjenama Rolex.
Namun, Idris kemudiannya membalas tuduhan itu menerusi ciapan di laman Twitter pada Ahad, beliau hanya memakai jam tangan jenama Buruj bagi membantu memudahkannya mengetahui arah kiblat serta waktu solat.
"Untuk pengetahuan, jam Buruj ni lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat.
"Boleh solat di mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat," katanya.
Isu jam itu turut mendapat perhatian Dewan Pustaka dan Bahasa Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook berkenaan maksud 'buruj'.
Hantaran yang dimuat naik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Ternyata status itu mendapat pelbagai reaksi netizen terhadap kepekaan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia berhubung isu semasa di Malaysia.
Dalam ruangan komen, seorang pengguna dikenali sebagai Mohamad Norazizi berkata, Siti Kasim telah membantu meningkatkan populariti jam tangan jenama Buruj.
"Terima kasih pada Siti Kasim, disebabkan dia, pengeluar jam tangan Buruj dapat iklan percuma sahaja sehingga satu Malaysia atau mungkin dunia akan kenal jam Buruj ini...harga pun boleh tahan RM100 lebih juga, tetapi berbaloi, boleh tunjuk arah kiblat, dulu tiada kompas atau telefon tiada rangkaian, yakin saja arah kiblat," ujarnya.
Antara komen netizen yang menyindir Siti Kasim. — Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Zulkifly Amirudin mendoakan agar Siti Kasim diberikan hidayah.
"Tak pasal-pasal mak cik itu dapat pahala, bila pembeli baharu guna untuk cari arah kiblat. Semoga diberikan hidayah," katanya.
Menyedari tindakannya itu salah, Siti Kasim membuat kenyataan maaf di laman Twitter Idris.
"Minta maaf Ustaz sebab saya memang salah," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram