'Air mata orang politik umpama pisau cukur yang tersembunyi'


NOR Azman (kanan) memohon maaf kepada rakyat Melaka atas keputusannya menarik sokongan terhadap Sulaiman baru-baru ini. — Bernama
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Melaka, Datuk Nor Azman Hassan mengalirkan air mata sambil meminta maaf kepada semua rakyat Melaka ketika sidang media pada Rabu.

Dakwa beliau, tindakannya bersama-sama ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan dua lagi ADUN Melaka menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin adalah demi kepentingan rakyat.

"Saya mohon maaf kepada rakyat Melaka, saya ikhlas, bukan main-main kerana apa yang kami buat ini bukan kerana kepentingan kami," katanya pada sidang media tersebut.

Bagaimanapun kebanyakan netizen mengecam Nor Azman yang didakwa hanya 'berpura-pura'.


Antara komen netizen di Facebook. — Facebook Utusan Online


"Air mata orang politik ini umpama pisau cukur yang tersembunyi. Air mata mereka sangat mudah mengalir demi untuk meraih simpati rakyat, demi untuk agenda politik mereka.

"Berapa ramai dah ahli politik yang menangis teresak-esak akhirnya mereka ketawa dan rakyat yang menangis," kata seorang pengguna Facebook, Taling Sakti Sakti.

"Bak kata mak mertua Kasim Selamat, mengapa menangis di sini, menangis kau di sana. Nak PRU pandai nangis, diskriminasi rakyat boleh pula," ujar seorang lagi pengguna Facebook, Masyitah Masaahd.

"Sesudah perut kekenyangan menangis di depan orang ramai. Jika betul-betul menyesal, serahkan semua gaji dari mula dapat hingga sekarang sebab haram terima duit gaji dari kerja salah," kata seorang lagi pengguna Facebook, Mohd Naeem. — Majoriti