MASIH terlalu awal untuk menentukan siapa calon yang bakal mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara itu dimaklumkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyarankan bahawa muka-muka baharu harus diketengahkan untuk memperlihatkan pendekatan berbeza untuk PRN kali ini.
"Masih terlalu awal untuk mengetengahkan calon-calon yang akan diketengahkan jika ada PRN.
"Namun kita tidak boleh menyekat usaha-usaha untuk kenal pasti bakal-bakal calon yang akan diketengahkan oleh BN dan Umno," katanya pada sidang media di Parlimen pada Selasa.
Tambahnya pihaknya menunggu keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung PRN Melaka memandangkan ia perlu diperhalusi dengan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sah dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN diadakan susulan kemelut politik di negeri itu.
Ia berpunca apabila empat Adun menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Empat Adun itu merupakan Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, Bersatu (dua) dan Bebas (satu) manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (tujuh), PKR (dua) dan Amanah (dua). — Majoriti