Covid-19: Jangan ulangi kesilapan PRN Sabah


  • Politik
  • Selasa, 05 Okt 2021

Petugas SPR membuat persiapan sebelum proses penamaan calon PRN Sabah. — Bernama
JANGAN ulangi kesilapan sama seperti semasa pilihan raya negeri Sabah tahun lalu, yang mengakibatkan gelombang jangkitan baru Covid-19, kata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Sebaliknya, Penolong Setiausaha Penganjur DAP Khoo Poay Tiong berkata kerajaan baharu harus dibentuk di Melaka mengikut Perlembagaan negeri dengan memberi peluang kepada parti atau gabungan yang mempunyai majoriti.

"Malaysia sedang pulih dari krisis Covid-19 dan pilihan raya negeri boleh menjejaskan usaha pemulihan.

"Kita tidak boleh mengulangi kesilapan sama seperti semasa pilihan raya negeri Sabah tahun lalu, yang mengakibatkan gelombang jangkitan baru dan kita hilang kawalan terhadap wabak itu," katanya.

Ini susulan keputusan Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam yang membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Kerajaan negeri pimpinan Sulaiman tumbang susulan langkah empat Adun yang diketuai oleh Idris Haron (BN-Sungai Udang) menarik balik sokongan mereka terhadap kepemimpinannya semalam.

Tiga yang lain itu adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). — Majoriti

DAP, PRN Melaka, Khoo Poay Tiong