PRN Melaka: Rakyat bimbang 'pisang berbuah dua kali'


  • Massa
  • Rabu, 06 Okt 2021

AKTIVITI perniagaan di sepanjang jalan Pantai Klebang, Melaka kian rancak selepas negeri itu memasuki Fasa Tiga PPN. — Bernama
RATA-RATA penduduk Melaka meluahkan kebimbangan tentang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di negeri berkenaan kelak.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, mereka khuatir aktiviti sosial dan ekonomi akan kembali terjejas kerana Melaka kini berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mereka juga merayu agar PRN tersebut ditangguhkan dan mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku selepas PRN Sabah diadakan pada September tahun lalu.

Bagi pengusaha restoran, Mazlan Ismail, 45, para peniaga makanan baharu sahaja menarik nafas lega selepas 'dine in' dibenarkan namun mereka khuatir ia akan ditarik balik jika kes Covid-19 kembali meningkat.

"Jika PRN diadakan, rakyat Melaka dari luar pasti akan pulang untuk mengundi dan tiada siapa boleh menafikan hak mereka sebagai pengundi namun kita risau berlaku jangkitan yang menyumbang kepada peningkatan kes.

"Apa yang saya lihat, kerajaan perlu mengambil iktibar apa yang berlaku selepas PRN Sabah, kes positif meningkat bukan sahaja di sana malah di seluruh negara sehingga banyak sektor perniagaan terpaksa ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada Rabu.

Peniaga pakaian di Pahlawan Walk, Sharifah Shahira Wafa Syed Rosely Waffa, 27, turut meluahkan kebimbangan PRN akan menjejaskan proses pemulihan daripada wabak Covid-19 khususnya di Melaka yang begitu mengharapkan pembukaan semula sektor pelancongan.

"Peniaga di kawasan pelancongan seperti di Pahlawan Walk ini amat berharap pada pelancong luar tetapi apakan daya kami," katanya.

Dia juga memutuskan untuk tidak keluar mengundi sekiranya PRN itu diteruskan kerana risau dijangkiti meskipun terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang pekerja syarikat swasta, Ian Choo Tze Wei, 29, pula berkata dia akan tetap keluar mengundi kerana atas dasar tanggungjawabnya dalam memilih wakil rakyat.

Bagaimanapun, dia berharap PRN Melaka dapat ditangguhkan sehingga keadaan benar-benar selamat daripada wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Naib Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka, Zaiton Sidek, turut melahirkan kebimbangan kerana peningkatan kes Covid-19 akan merencatkan pelbagai aktiviti khususnya dalam kalangan belia.

"Banyak sebenarnya aktiviti untuk belia yang telah kita rangka untuk dilaksanakan tetapi ia sering tertangguh dalam tempoh Covid-19 ini terutama apabila PKP dikuat kuasa,” katanya.

Melaka mencatatkan 200 kes positif Covid-19 pada Rabu dengan 88.5 peratus populasi dewasa di negeri itu telah lengkap vaksinasi setakat Selasa.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14 pada Isnin daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN. — Bernama

PRN, Melaka, SPR, tinjauan, PKP, Covid-19