‘Tiada siapa berhak menganiaya, mendera mana-mana kanak-kanak’


KECEDERAAN yang dialami oleh kanak-kanak autisme akibat dipukul oleh wanita warga Singapura baru-baru ini.

KES penganiayaan terhadap kanak-kanak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) sememangnya tidak boleh diterima oleh mana-mana individu yang berfikiran waras tidak kira apa jua bangsa dan agama sekalipun.

Baru-baru ini, tular mengenai seorang wanita warga Singapura yang ditahan kerana didakwa memukul seorang kanak-kanak autisme di pusat intervensi kanak-kanak.

Bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mendakwa, anaknya dipukul di pusat intervensi terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika bapa mangsa mengambil anaknya di pusat berkenaan, petugas di pusat terbabit memberitahu ada kesan kemerahan di bahagian tepi dahi kiri kerana mangsa menghantukkan kepala pada meja.

“Bapa mangsa yang tidak berpuas hati kemudian melihat rakaman CCTV dan melihat suspek bertindak kasar kerana anaknya enggan makan.

Mohamad Farouk berkata, suspek kini ditempatkan di lokap bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Perkara itu turut mendapat perhatian daripada aktivis masyarakat Mona Din yang lantang memperjuangkan hak kanak-kanak istimewa.

Bersyukur dengan penahanan suspek itu, Mona Din berkata, tanggungjawab orang ramai bukan hanya untuk menyayangi dan melindungi anak-anak sendiri, tetapi mereka perlu mengasihi dan membantu kanak-kanak lain, terutamanya kanak-kanak istimewa.

“Tiada siapa pun berhak mengenepi, memperlekeh, menganiaya, mengabai, apatah lagi mendera mana-mana kanak-kanak terutama anak-anak syurga.

WhatsApp Image 2021-10-04 at 1.10.38 PM

Respon Mona Din di laman Facebook berkaitan kanak-kanak autisme yang dipukul.

“Kita menentang yang melakukan, kita juga tentang mereka yang bersubahat dengan pelaku.

“Kita sayang anak-anak orang, insyaAllah, Allah akan sayang anak-anak kita. Percayalah,” katanya.

Terdahulu, kisah sedih mengenai remaja perempuan OKU dikenali Bella yang dipercayai didera dan tular di media sosial turut menarik perhatian aktivis itu yang membongkar perkara berkenaan di laman Facebooknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pukul, kanak-kanak, Mona Din