'Tindakan mereka heret anak saya tidak masuk akal!'


  • Tular
  • Isnin, 04 Okt 2021

TANGKAP layar rakaman CCTV yang menunjukkan kanak-kanak terbabit didera (kiri) dan kesan lebam yang terdapat di bahagian badan mangsa (kanan).

SATU rakaman video menunjukkan seorang kanak-kanak autisme yang dipercayai didera oleh tenaga pengajar di sebuah pusat jagaan tular di media sosial sejak Ahad.

Bapa kanak-kanak terbabit, Tengku Aminuddin Shafiq, memuat naik video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kekasaran yang dilakukan oleh tenaga pengajar itu terhadap anaknya di Facebook.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya terkilan dan sangat marah dengan apa yg telah terjadi kepada anak saya semalam.

"Anak saya merupakan pelajar di Maikidzcare Center, Bandar Baru Ampang, Selangor. Pusat jagaan ini adalah khusus untuk kanak-kanak autisme.

"Kejadian yang berlaku pada 1 Oktober 2021 benar-benar tidak dapat diterima dan kami telah hilang kepercayaan untuk menempatkan anak kami di pusat jagaan tersebut," ceritanya.

Tengku Aminuddin berkata, dia perasan terdapat kesan lebam di badan dan wajah anaknya ketika mengambilnya daripada pusat jagaan terbabit.

Katanya, itu bukanlah kali pertama dia melihat kesan seperti itu pada anaknya, tetapi sebelum ini dia hanya bersangka baik.

"Anak saya dalam video ini dengan jelas takut dengan guru yang merupakan pengetua di centre tersebut, takut akan diapa-apakan oleh guru tersebut dan saya tidak lihat di mana-mana klip CCTV yang anak saya bertindak kasar.

"Saya tidak rasa tindakan mereka mengheret anak saya di atas lantai dan mencederakan anak saya sebagai suatu tindakan yang munasabah, tetapi merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal," katanya.

Jelasnya, alasan pusat jagaan tersebut bahawa anaknya tidak mahu makan adalah tidak dapat diterima.

Tambah Tengku Aminuddin, pihaknya telah merujuk kes kepada pihak polis dan pemeriksaan kesihatan juga telah dilakukan oleh pihak hospital

Tindakan undang-undang juga telah diambil ke atas pusat jagaan terbabit, kata Tengku Aminuddin.

"Kanak-kanak ini adalah istimewa dan sekiranya mereka dilayan dengan sebegini rupa, saya tertanya- tanya manakah nilai belas dalam diri dan jiwa mereka ini. Bagaimana dengan nasib anak-anak yang lain?" katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram