Video tular: Polis tahan wanita warga Singapura pukul kanak-kanak autisme


  • 112
  • Isnin, 04 Okt 2021

RAKAMAN CCTV yang memaparkan suspek warga Singapura yang memukul kanak-kanak autisme.

TINDAKAN seorang pengurus di pusat intervesi kanak-kanak yang memukul seorang kanak-kanak autisme membawa padah apabila dia ditahan pihak polis pada Ahad.

Penahanan suspek yang juga warga Singapura dilakukan susulan satu laporan dibuat oleh bapa mangsa pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku selepas kanak-kanak berusia enam tahun berkenaan dihantar bapanya ke pusat intervensi terbabit kira-kira pukul 8.45 pagi, Jumaat lalu.

Namun, katanya, ketika mengambil anaknya pada jam 12.45 tengah hari, petugas di pusat terbabit memberitahu ada kesan kemerahan di bahagian tepi dahi kiri kerana mangsa menghantukkan kepala pada meja.

“Bapa mangsa yang tidak berpuas hati kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan melihat suspek bertindak kasar kerana anaknya enggan makan.

“Susulan itu, polis menahan suspek yang berusia 51 tahun di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya selepas keterangannya diambil,”katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Farouk berkata, suspek kini ditempatkan di lokap bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman CCTV yang mendakwa, anaknya dipukul di pusat intervensi terbabit.

Hantaran terbabit kemudian tular dan orang ramai meminta tindakan tegas diambil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

austime, kanak-kanak, pukul