“Mudah-mudahan budaya begitu masuk ke Semenanjung. Amin.”


GUNUNG Kinabalu di Sabah bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat di negeri itu, malah menjadi sanjungan warga di negara ini. — Majoriti

SABAH bukan sahaja megah dengan kewujudan Gunung Kinabalu sebagai antara kemuncak tertinggi di Asia, malah tidak kurang rakyatnya juga yang masih mengamalkan sikap perpaduan serta saling hormat-menghormati.

Perkara itu dibuktikan sendiri oleh rata-rata netizen dari Semenanjung Malaysia yang mengagumi amalan positif rakyat negeri di bawah bayu itu, meskipun berlainan kaum dan agama.

Menerusi komen di laman Facebook Sabah Bossku, pengguna dikenali Zulkarnaen Sokarnor mengakui, dia sangat menggemari rakyat serta negeri Sabah yang menghormati orang lain tidak mengira bangsa dan agama.

“Mudah-mudahan budaya begitu masuk ke Semenanjung. Amin,” katanya.

Turut berpendapat sama, Izzad Mohd Idrus berkata, warga Semenanjung mendapat layanan yang sangat baik dari rakyat Sabah dan itu membuatnya tidak berasa janggal berada di tempat asing.

“Kita hidup bermasyarakat, saling hormat-menghormati, jaga adab dan tatasusila.

“Kita tolong semua orang, tidak kira anda bangsa dan agama apa. Betul-betul model 1 Malaysia memang di Sabah Sarawak,” katanya.

template (22)

Antara komen-komen netizen mengenai Sabah di Facebook.

Berkongsi pengalaman ketika berada di Sabah, pengguna dikenali Mat Lang meluahkan bahawa dia sangat merindukan negeri itu.

Katanya, rakyat di negeri itu tidak pernah bergaduh mengenai hal berkaitan kaum dan agama, malah semua perayaan disambut dengan meriah dan saling hormat-menghormati.

Ketika perayaan Krismas, katanya, dia menghadiri rumah terbuka perayaan Krismas yang dianjurkan kawan-kawannya dan mereka telah mengasingkan makanan halal dan haram sebagai tanda hormat kepadanya yang juga merupakan seorang Muslim.

“Bulan puasa pula kawan Cina selalu belanja makan ketika buka puasa. 2 3 jam sebelum buka puasa kawan saya berbangsa Cina menghubungi saya, ‘buka puasa mana hari ni bro, jom buka puasa sama-sama.

“Ketika nak bayar dia tak bagi sebab dia cakap dia pun nak dapat pahala juga walaupun tak puasa. I love Sabah (Saya sukakan Sabah),” katanya.

Mitchell Arat Ginda yang berasal daripada keluarga campuran agama berkata, segala perayaan di negeri itu disambut bersama-sama.

“Yang penting saling hormat. Masih teringat di bulan puasa ketika kawan saya tengah puasa dan tidur di pantry, rasa serba salah mahu makan. Sanggup tapuk-tapuk makan.

“Dengan selamba, kawan yang puasa itu bangun dan jemput makan di meja walaupun dia puasa, malah dia bawa lagi bercerita sedangkan kami makan dan dia tidak.

“Memang Sabah Sarawak unik dan tidak dapat disangkal lagi perpaduan di sini,” katanya.

Tambahnya, sekiranya mereka pergi berkursus dan menaiki kereta yang sama, salah seorang daripadanya sempat mengingatkan yang lain untuk mengerjakan solat pada awal waktu.

“Tapi nampak satu restoran pemilik kepada non-muslim (bukan Muslim). Boleh je berhenti dan minta izin untuk tumpeng solat dan guess what (cuba teka) supporting la tuan punya kedai. Diberi ruang lagi.

“Begitulah harmoni Sabah ini. Diharap tiada yang merosakkan keharmonian yang semula jadi ini,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sabah, Semenanjung, perpaduan