USAHA Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengatasi isu kenaikan harga ayam ternyata mengundang keceman rakyat.
Dalam satu hantaran yang dimuatnaik di Facebook pada Isnin, KPDNHEP menyiarkan gambar kartun dengan mesej menggalakkan orang ramai membeli ayam di pasar raya.
Malah kapsyen yang digunakan pada hantaran itu juga dilihat kurang menyenangkan rakyat sehingga ada yang mengecam tindakan pentadbir akaun itu agar lebih peka dan sensitif.
"La..Kenapa tak beli di pasar raya?" demikian kapsyen yang diberikan pada hantaran itu.
Antara komen awal yang disuarakan netizen adalah daripada Rizal Sudin.
"Seriuslah kementerian sendiri buat promosi macam ni?
"Kalau macam ni, matilah peniaga kecil kalau kementerian suruh rakyat beli aya di pasar raya sahaja.
"Ingat semua tempat ke ada pasar raya?
"Sepatutnya menteri kena fikir macam mana nak kawal harga ayam dekat pasaran. Bukan buat kerja sambil lewa macam ini promosi ayam di pasar raya.
"Kalau macam ni, baik bubar terus KPDNHEP kalau nak kawal harga ayam pun susah," tulisnya.
Namun pihak kementerian kemudiannya memadamkan hantaran itu di Facebook dan Twitter tetapi ramai netizen membangkitkan kembali isu itu dengan meletakkan tangkap layar status itu pada ruangan komen Facebook KPDNHEP.
Antara komen netizen yang meluahkan rasa kecewa mereka terhadap KPDNHEP.
Antara yang membangkitkan isu itu termasuk Nor Izzati Yahaya yang memberi komen, "I will keep this in mind. Moga Allah bantu kami yang tertindas dengan orang seperti kamu. Aamin."
Dia memberi komen itu pada satu kenyataan media KPDNHEP bertajuk, "KENYATAAN MEDIA: KPDNHEP AMBIL PENDEKATAN BAHARU TANGANI ISU HARGA AYAM DAN TELUR."
Dalam satu lagi hantaran KPDNHEP yang lain, seorang pengguna dengan nama Shauqi Hadi Mohd Jaais mempersoalkan hantaran asal berkenaan.
"Mana pos ni?" soalnya.
Seorang lagi pengguna dengan nama Abdul Hanis Rafie pula berkata isu tersebut sudah mendapat sebutan netizen.
"Benda dah viral," tulisnya.
Isu kenaikan harga ayam dan telur ayam berbangkit sejak minggu lepas ekoran peningkatan mendadak dua harga bahan mentah itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram