MENGAMBIL kesempatan dengan mengikut belakang van jenazah di laluan kecemasan untuk mengelak kesesakan lalu lintas merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Seorang pengguna laman sosial Facebook, Asree Asmoe berkongsi tentang perkara itu yang dilakukan beberapa pemandu dan mengkritik perbuatan berkenaan dalam hantaran statusnya.
Mendapat lebih 490 tanda suka, ramai netizen bersetuju dengan pandangan Asree yang menyatakan golongan berkenaan sebagai mentaliti kelas ketiga.
Dia turut berkongsi salinan laporan aduan yang dilakukan dalam hantaran Facebook tersebut.
ASREE turut berkongsi laporan aduan yang dilakukan olehnya. — Facebook
Seorang pengguna Facebook, Naz My menyokong tindakan yang dilakukan Asree dan menyatakan bahawa ia adalah wajar tanpa perlu mengeluarkan kata-kata kesat.
"Mantap, beginilah yang sepatutnya, tak perlu caci maki hamun," tulisnya.
Seorang lagi pengguna, Hokage Silantra pula menyatakan bahawa dalam keadaan berkenaan tidak salah untuk van jenazah itu menggunakan lorong kecemasan namun, kenderaan lain tidak sepatutnya mengambil kesempatan.
"Pengecualian boleh diberikan pada van jenazah, tetapi kenderaan yang lain tidak patut mengikut perbuatan sama," katanya.
Berbeza pula buat pemilik akaun Wira Zaha, yang menimbulkan kemusykilan tentang dakwaan Asree.
Dia menyatakan bahawa dua kenderaan itu berkemungkinan waris kepada jenazah dalam van itu kerana mereka menghidupkan lampu isyarat kecemasan.
"Kecemasan itu bukan sebab ikut van jenazah ke? Sebab kalau tengok wira dengan kereta hitam itu guna lampu isyarat kecemasan," tulisnya.
PEMILIK akaun Wira Zaha mendakwa bahawa proton wira tersebut merupakan waris jenazah kerana menggunakan lampu isyarat kecemasan. — Facebook
Bagaimanapun komen itu dibalas semula oleh Kuwahara Nashite yang menyatakan bahawa jika waris itu mahu segera ke sana, dia sepatutnya menaiki van jenazah yang boleh memuatkan sekurang-kurangnya lima lagi penumpang.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram