SELEPAS dikecam hebat netizen, Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Ikmal Zaidi Hashim tampil memohon maaf secara terbuka berhubung isu layanan dua darjat (double standard) bagi solat Jumaat baru-baru ini.
Menerusi rakaman yang disiarkan di laman Facebook Masjid Putra pada malam Selasa, Ikmal berjanji akan membaiki keadaan terutama berkaitan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Putra.
"Dengan rendah hati, saya ingin memohon maaf atas segala keterlanjuran tersebut," katanya.
PERMOHONAN maaf secara terbuka Ikmal Zaidi Hashim malam tadi. — Facebook/Masjid Putra Putrajaya
Sehubungan itu, beliau turut mengajak semua khasnya jemaah untuk meneruskan aktiviti mengimarahkan Masjid Putra sama ada solat Jumaat atau solat fardu dan program yang akan dianjurkan kelak.
Beliau kemudian membaca ayat al-Quran, Surah Hud ayat ke-88 yang bermaksud:
"Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya selain dari pertolongan ALLAH. Kepada ALLAH jualah aku berserah diri dan kepada-Nya aku kembali.”
VIDEO kontroversi angkara layanan dua darjat bagi golongan VIP menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra yang tular di media sosial. — Facebook
Ikmal menjadi kecaman warga maya selepas memberi penjelasan berhubung VIP yang lewat tiba dibenarkan memasuki masjid untuk menunaikan solat Jumaat berbanding jemaah yang telah tiba awal tetapi tidak dibenarkan masuk.
Dalam penjelasannya sebelum ini, beliau tidak meredai tindakan individu yang membuat rakaman video dan menularkannya di laman sosial serta meminta pihak terbabit bertemu dengannya untuk memohon maaf selain berdoa agar diberi hidayah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram