'Layout berserabut, tulisan kecil, susah nak faham'


PAPARAN laporan Covid-19 di laman web COVIDNOW mengundang reaksi kurang menyenangkan daripada netizen.

BERMULA semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mula menggunakan grafik baharu bagi laporan harian Covid-19 di media sosialnya.

Berdasarkan grafik baharu tersebut, KKM dilihat tidak lagi menggunakan warna untuk taburan kes, selain tulisan yang lebih kecil dan penjelasan kes yang lebih ringkas

Selain itu, KKM juga kini sudah tidak lagi berkongsi laporan kes harian mengikut negeri di laman sosialnya, tetapi orang ramai boleh mendapatkan maklumat tersebut di laman web covidnow.moh.gov.my.

Perkara itu mendapat reaksi kurang menyenangkan daripada netizen yang mempersoalkan tindakan KKM menukar cara penyampaian laporan tersebut.

Antara perkara yang menjadi isu kepada netizen adalah tulisan yang digunakan kecil dan paparan tidak menarik dan tidak mesra pengguna, selain tidak berwarna-warni seperti paparan sebelum ini yang menyukarkan lagi pemahaman.

Pengguna Facebook, Mohamad Safrie mempersoalkan tindakan KKM untuk tidak berkongsi statistik menyeluruh mengenai laporan Covid-19 harian di laman sosialnya.

"Kenapa KKM tidak kongsi maklumat data dan statistik berkenaan di platform media sosial sedia ada? Adakah ini tindakan yang lebih telus atau untuk mengelakkan rakyat mengkritik dan mempertikaikan jika ia dikongsikan di media sosial milik KKM terutamanya di Facebook?

"Kenapa perlu ada website baru, tidak cukupkah website KKM dan Aplikasi MySejahtera yang boleh dikongsikan segala maklumat yang diperlukan rakyat?" soalnya.

covid layout

Antara komen netizen tentang grafik baharu yang digunakan KKM.

"Susah nak baca. Kecil and serabut," luah Habirah Mohd Rosli.

"Berserabut. Tak memberi semangat langsung. Tiada warna," kata Mohd Nazli A Bakar.

Ada juga netizen yang mahu KKM menggunakan paparan lama yang disifatkan lebih jelas dan mudah difahami.

"Kurang menarik layout baru ni Khairy Jamaluddin, Kementerian Kesihatan Malaysia. Layout lama lagi ok, clear dan mudah faham. Orang yang tinggal di kampung, atok nenek, warga emas lebih prefer yang lama," kata M Ahmad Mohamed.

"Tak menarik langsung paparan. Tak mesra pengguna. Yang lama lagi bagus. Mohon tukar semula," kata Mohd Nazli A Bakar pula.

"Saya rasa buat cara lama lah senang...kalau macam ni susah nak faham...." kata Mohamad Nazirul Husain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kkm, laporan covid-19 harian