'Bukan PM saja dua penggal, Ahli Parlimen pun sama'


USUL untuk mengehadkan tempoh penjawatan Perdana Menteri mengundang reaksi bercampur-baur netizen. — Bernama

PENGUMUMAN kerajaan untuk mengusulkan supaya tempoh penjawatan Perdana Menteri dihadkan kepada 10 tahun mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat umum khususnya.

Ada yang menyokong, ada yang melihat ini sebagai sesuatu yang merugikan selain ada juga mahu melihat supaya undang-undang yang sama turut diperluaskan kepada Ahli Parlimen.

Pengguna Facebook, Akak Zu berkata, tempoh seseorang Perdana Menteri itu berkhidmat seharusnya berlandaskan kepada prestasinya, justeru tidak ada keperluan untuk mengehadkan tempoh penjawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sahaja.

"Lebih baik lihat pada prestasi jika ternyata gagal tak payah tunggu dua penggal, terus cari calon yang lebih berkemampuan mentadbir begitu juga dengan menteri-menteri yang lain kena letak jawatan serta merta," katanya.

Hai Lee pula berkata, selain Perdana Menteri, had penjawatan juga perlu dikenakan kepada semua Ahli Parlimen bagi memberi ruang kepada golongan pemimpin muda.

"Bukan Perdana Menteri sahaja, Yang berhormat pun sama, seorang dua penggal, adil untuk semua.

"Yang ada sekarang pun semua sudah tua," katanya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Cecongkot Simpolan bagaimanapun tidak bersetuju dengan usul tersebut, sebaliknya beliau berpendapat bahawa tempoh khidmat seseorang Perdana Menteri itu perlulah ditentukan oleh rakyat.

"Tak sokong, rugi kalau kita dapat Perdana Menteri yang hebat tapi dihadkan, biar rakyat yang tentukan," jelasnya.

Sementara itu, Wan Mokhtar pula berpandangan selain daripada tujuh tawaran transformasi Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob psds Jumaat, kerajaan juga perlu menggubal satu undang-undang yang hanya membenarkan individu yang diberi mandat rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Satu lagi undang-undang patut digubal, tidak ada Perdana Menteri boleh dilantik kecuali yang mendapat mandat rakyat," jelasnya.

Kerajaan pada Jumaat mengumumkan tujuh tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, tawaran dan komitmen kerajaan itu selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan meliputi, Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen, pelaksanaan Undi 18 dalam tempoh terdekat, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang, setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama, pembabitan ahli parti pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan pemberian saraan dan kemudahan setara menteri kepada Ketua Pembangkang.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram