Kecoh tidak dibenarkan masuk premis kerana tiada MySejahtera


MySejahtera menjadi antara syarat utama untuk memasuki mana-mana premis sebagai rujukan tahap kesihatan dan status vaksin Covid-19 setiap individu. — Gambar hiasan/Majoriti

PENGGUNAAN aplikasi MySejahtera kini bagaikan nyawa kepada orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian.

Mana tidaknya, MySejahtera menjadi antara syarat utama untuk memasuki mana-mana premis sebagai rujukan tahap kesihatan dan status vaksin Covid-19 setiap individu.

Bagaimanapun, keadaan ini dilihat menyukarkan segelintir rakyat yang tidak menggunakan telefon pintar yang mungkin dalam kalangan warga emas mahupun yang kurang berkemampuan.

Salah seorang pengguna Twitter @pja_chan berkongsi situasi apabila ibunya tidak dibenarkan untuk memasuki sebuah pasaraya walaupun telah menunjukkan kad pengesahan vaksin lengkap dua dos.

"Mak mengadu tadi dia tak dapat masuk supermarket walaupun telah lengkap dua dos vaksin. Sudah tunjuk kad pengesahan dua dos pun masih tidak dibenarkan masuk sebab tidak ada smartphone untuk tunjuk aplikasi MySejahtera," dakwanya.

Hantaran itu telah mendapat 4,988 hantaran semula dan lebih 10,000 tanda suka.

Rata-rata respons daripada pengguna media sosial turut menyatakan kesukaran tersebut.

"Kesiannya, kalau begitu payahlah sebab tidak semua ada smartphone. Macam mana dengan warga emas di kampung yang pakai telefon biasa-biasa..kerajaan perlu fikirkan sesuatu untuk kebaikan semua pihak. Guna kad pun payah juga sebab sekarang ramai yang bijak pandai yang cuba untuk tiru," kata Fit Mariam.

Sependapat dengan komen itu, Hanum Darwis berkata: "Rasanya KKM perlu keluarkan sijil untuk mereka yang telah lengkap dua dos untuk mudahkan mereka yang tidak memiliki smartphone..kalau masih tidak terima, tak tahulah," katanya.

Bagaimanapun, bagi Morimah Misri, anak-anak perlu memainkan peranan untuk memastikan ibu bapa yang kurang berkemahiran menggunakan telefon pintar untuk memudahkan pelbagai urusan.

"Ajarlah emak dan ayah guna smartphone. Ajar mereka perlahan-lahan dengan lukis dan tulis langkah demi langkah untuk gunakan MySejahtera, InsyaAllah boleh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MySejahtera, Covid-19, vaksin, telefon pintar