'Jangan eksperimen nyawa anak kami, tangguh dulu'


KPM perlu merangka pelan komprehensif sebelum membuka sekolah untuk pelajar sekolah. — The Star

"JANGAN eksperimen nyawa anak kami", itu merupakan salah satu komen yang diberikan netizen tentang pembukaan sekolah dan pusat pengajian tinggi yang dijangka pada Oktober.

Mantan Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malek dalam hantaran di laman sosial Facebook pada Sabtu, bertanya pendapat kepada orang ramai tentang perkara berkenaan.



MAZLEE meminta pendapat ramai tentang pembukaan sekolah pada Oktober dalam hantaran Facebook pada Sabtu.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membuka semula sesi persekolahan dan kuliah secara bersemuka. Dijangkakan ianya pada bulan Oktober nanti.

"Apakah respon tuan puan sebagai ibu bapa, pelajar, guru-guru dan pensyarah. Setuju? Tidak bersetuju? Atau OK sahaja?

"Jom kita bincang apakah langkah penambahbaikan yang perlu diambil oleh KPM dan KPT agar kluster institusi pendidikan tidak berulang," tulisnya.

Hantaran itu mendapat komen lebih 2,600 netizen.

Rata-rata pengguna di Facebook yang merupakan golongan ibu bapa dan guru tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Ada di antara mereka juga memohon supaya KPM mempertimbangkan pembukaan semula persekolahan pada tahun hadapan.

Salah seorang pemilik akaun Azmir Majid Majid berkongsi di komen mencadangkan supaya sesi persekolahan ditangguhkan terutama untuk sekolah rendah.

Tulisnya, jika mahu membuka sesi persekolahan, hanya untuk kelas peperiksaan kerana mereka lebih arif untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) berbanding pelajar darjah satu.

"Sebagai ibu bapa anak sekolah rendah.. tahun satu.. tangguhkan dahulu sekolah bagi anak anak sekolah rendah.. sebab anak-anak ini masih lagi tak tahu jaga Penjarakan sosial.

"Nyawa sangat berharga.. tiada ganti. Bagilah habis tahun ni. Jika dahulu.. kes harian mencecah 5,000 kes.. dah tutup sekolah. Sekarang kes harian purata 17 hingga 19 ribu sehari.. kekalkan PdPR.

"Lebih-lebih lagi ada dalam kalangan guru masih belum lengkap dua dos vaksin. Jangan eksperimen nyawa anak kami. Jika nak buka sekolah. Bukalah kelas peperiksaan.. yang mana mereka tahu natijah bahaya jika tidak jaga penjarakan.. mereka dah matang," komennya.

Memberi pandangan sebagai seorang guru, pemilik akaun Mohd Nazri berkata yang dia bersetuju agar tidak membuka sesi persekolahan lebih awal tetapi perlu memberi ruang kepada mereka yang mengambil peperiksaan.

Tulisnya, untuk tahun ini perlu bagi membuka kelas perperiksaan terutama buat pelajar yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Tidak setuju dan setuju... tapi rasa memang perlu buka untuk kelas SPM. risau batch spm sebab kumpulan pertama Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

"Kalau tak dapat buka hari-hari2, buka bergilir pun boleh. percaya la ramai yang tak join PDPR walaupun SPM tahun ni. sekurang-kurangnya mereka ada motivasi sikit. pandangan saya sebagai seorang guru," jelasnya.

Tidak kurang juga ada pengguna Facebook yang memberi cadangan supaya pihak KPM membuat perancangan teliti sebelum pembukaan sekolah dilaksanaka.

Najib Rahman menerusi komennya mencadangkan supaya KPM merangka pelan induk yang komprehensif agar pembukaan sekolah tidak mengundang situasi yang lebih buruk.

"Bukan setakat fikir buka atau tutup, KPM patut ada plan induk yang komprehensif, yang flexible berdasarkan kes-kes setempat, yang menjelas siapa dan apa peranan yang perlu dimainkan.

"Bukannya ramai-ramai vaksin, keadaan terus elok," ujarnya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram