SERAMAI 9,289 pelajar sekolah menengah berusia 16 dan 17 tahun di Sibu, Sarawak akan menerima vaksin Covid-19 bermula Rabu, kata Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sibu pada Selasa.
Menerusi satu kenyataan, jawatankuasa berkata, pelajar berkenaan adalah dari 33 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Swasta di daerah itu yang akan diberi suntikan vaksin Comirnaty (Pfizer-BioNTech).
“Sebanyak tiga buah pusat pemberian vaksin (PPV) statik beroperasi sepanjang PICK ini melibatkan PPV Dewan Suarah Sibu, PPV Dewan Serbaguna Sibu Jaya dan PPV Dewan Pejabat Daerah Kanowit,” kata kenyataan itu.
Selain itu, perkhidmatan PPV Bergerak Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu dan PPV Bergerak Pejabat Kesihatan Daerah Selangau akan beroperasi di SMK Ulu Balingian.
“Pelajar-pelajar yang akan ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin dinasihatkan agar datang bersama ibu bapa atau penjaga mereka dengan membawa kad pengenalan dan telefon bimbit yang mempunyai aplikasi MySejahtera serta kad kesihatan sekiranya ada,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram