Vaksin remaja: Ibu bapa pengaruh keputusan


  • Massa
  • Selasa, 07 Sep 2021

Kementerian Kesihatan sasar kesemua remaja lengkap divaksinasi menjelang sesi persekolahan tahun hadapan. — KK Sham/The Star

KUNCI kepada capaian vaksinasi dalam kalangan remaja di negara ini adalah bergantung kepada peranan ibu bapa dan penjaga.

Menurut Timbalan Pengerusi Medical Mythbusters Malaysia, Mohd Dziehan Mustapa, golongan remaja berkemungkinan bukan individu yang akan membuat keputusan dan segala tindakan mereka lebih dipengaruhi oleh ibu bapa.

"Sekiranya ibu bapa atau remaja itu sendiri ragu-ragu, mereka masih terbuka menerima informasi dan boleh berubah untuk mendapatkan vaksinasi.

"Kaedahnya adalah menerusi sesi penerangan oleh pihak berwajib kepada golongan sasara iaitu ibu bapa dan pelajar sekolah serta peranan guru dalam turut serta menyampaikan informasi yang betul berkaitan vaksinasi.

"Satu kolaborasi antara pihak kesihatan dan para guru serta sekolah diperlukan untuk meyakinkan mereka menerima suntikan vaksin," katanya kepada Majoriti.

Pada Ahad, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berharap agar seramai mungkin remaja menerima vaksinasi dalam tempoh 100 akan datang.

Jelas Khairy, beliau menyasarkan kesemua remaja telah melengkapkan vaksinasi mereka menjelang pembukaan sesi persekolahan tahun hadapan.

Dalam pada itu, Pengerusi Medical Mythbusters Malaysia, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris, pemberian vaksin kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun berlaku dalam tempoh yang tidak terlalu lambat.

"Kajian dan analisa berkenaan keberkesanan dan keselamatan vaksin bagi remaja baru diperoleh pada tahun ini dengan dapatan yang memuaskan.

"Dengan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dipercepatkan dan bekalan vaksin yang semakin banyak serta stabil, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok sebelum penghujung tahun ini boleh tercapai," ujar beliau.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram