PENGUMUMAN kerajaan untuk membenarkan aktiviti rentas negeri dalam masa terdekat ternyata disambut girang rakyat yang sudah lama terpisah serta tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga yang tersayang.
Namun ada yang mempertikaikan cadangan terbabit serta menganggap cadangan terbabit sebagai tindakan populis.
Berkongsi pandangannya di ruangan komen salah sebuah portal berita negara, Shaq's Ashf'f berkata kerajaan tidak seharusnya melihat kepada peratusan rakyat Malaysia yang sudah mengambil vaksin semata-mata.
"Jangan bersikap populis apabila membuat keputusan, jangan ukur hanya pada herd immunity sahaja.
"Kes masih 20,000 dan paling penting ratusan angka kematian setiap hari perlu diambil kira.
"Jangan ambil mudah sebab nak alih perhatian daripada kegagalan yang berlaku," tulisnya.
Namun rata-rata warga net dilihat menerima baik cadangan tersebut serta menyatakan komitmen masing-masing untuk menjaga SOP serta mengambil risiko sendiri apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan kelak.
"Benarkanlah..risiko tanggungjawab sendiri, sebabnya berkurung pun kes naik puluhan ribu juga," tulis Fatimah Mat.
Seorang lagi netizen turut berkongsi pandangan yang sama.
"Nak jenguk mak ayah di kampung pun susah (kena) minta surat hospital bagai.
"Sudahnya dapat balik kampung masa ayah dah tak ada. Janganlah kejam sangat wahai kerajaan.
"Terima hakikat Covid ini memang sudah sebati dalam negara, pandailah kami jaga diri. Risiko tanggung sendiri," tulis Puan Nurtiara Idayubinti Zainudin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Jumaat berkata lebih banyak kelonggaran termasuk pergerakan rentas negeri akan diberikan dalam tempoh masa terdekat.
Khairy berkata perbincangan berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) giat dijalankan, bersandarkan pada fakta sains dan petunjuk semasa.
"Ia akan dibentangkan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. Ada harapan (untuk rentas negeri), cuma saya (minta) sabar sekejap lagi, sikit saja masa lagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram