Warga Lembah Klang boleh rentas daerah


  • Primer
  • Isnin, 30 Ogos 2021

ISMAIL Sabri akan meneliti secara terperinci bersama Kabinet dan JKJAV sebelum keputusan peralihan Fasa 2 PPN diumumkan. — The Star

WARGA Lembah Klang yang sudah lengkap dua dos vaksin dijangka menikmati kelonggaran termasuk boleh merentas daerah tidak lama lagi.

Ini kerana, Kuala Lumpur dan Selangor dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh dua minggu lagi susulan 89.5 peratus populasi dewasa di kawasan tersebut telah lengkap menerima dos vaksin kedua.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah berkenaan sudah melebihi kadar sasaran 80 peratus.

"Saya dan barisan Kabinet akan berbincang tentang perkara ini bersama (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam masa terdekat.

"Mungkin beberapa negeri lain akan bergerak ke fasa seterusnya juga," katanya pada sidang media di Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur semalam.

Tambah Ismail Sabri, orang ramai diminta untuk terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 meskipun telah menerima vaksin.

Antara kelonggaran yang akan diberikan dalam Fasa 2 PPN termasuklah kebenaran pergerakan rentas daerah bagi individu yang lengkap dua dos vaksin, pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya lengkap dua dos vaksin.

Kelonggaran lain pula merangkumi ibu bapa atau penjaga yang sudah melengkapkan vaksinasi serta mempunyai anak bawah usia 18 tahun yang menetap di negeri lain turut dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa.

Selain itu, aktiviti pelancongan turut dibenarkan namun hanya melibatkan pelancongan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib sudah menerima dua dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan inap desa.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ismail Sabri, PPN, Fasa Dua, Lembah Klang, Vaksin