RAMAI rakyat yang mengharapkan supaya Lembah Klang dapat berpindah ke fasa seterusnya memandangkan kadar imunisasi kelompok di kawasan itu telah mencecah lebih 90 peratus.
Bagaimanapun, majoriti warga Lembah Klang jhampa selepas mendengar pengumuman pada Khamis bahawa kawasan itu dikekalkan bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam pengumuman itu, hanya Melaka beralih ke Fasa Dua manakala Negeri Sembilan ke Fasa Tiga.
Kekecewaan itu disuarakan memandangkan sebelum ini Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berpendapat Lembah Klang kini boleh beralih ke Fasa Dua PPN susulan kadar vaksinasi yang telah melebihi 80 peratus.
Dalam muat naik status dalam akaun laman sosial Facebook, Majlis Keselamatan Negara tentang peralihan fasa PPN berkuatkuasa 4 September 2021, ramai netizen menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pengumuman tersebut.
Bukan cemburu kerana negeri lain beralih fasa, tetapi kebanyakan mereka mahukan Selangor dan Kuala Lumpur juga keluar dari cengkaman fasa satu.
Salah seorang pemilik akaun Muhd Herris meninggalkan komen yang menyatakan, Selangor harus beralih ke fasa dua memandangkan ramai penduduknya yang bekerja di daerah yang berbeza.
Hurainya dalam komen itu lagi, tindakan kompaun untuk kesalahan di fasa satu hanya menganiaya rakyat dan jika kes makin meningkat sebaiknya melaksanakan perintah kawalan yang menyeluruh (total lockdown).
"Selangor harus beralih ke fasa 2...ramai terpaksa rentas dari satu daerah ke daerah lain kerana bertugas dan urusan peribadi yang penting.
" Jika masih di fasa satu,pihak berkuasa boleh mengeluarkan kompaun dan ini menganiaya ramai orang. Serta ada perniagaan yang belum dapat beroperasi dalam fasa 1.
"Jika kerana kes harian masih tinggi...buat total lockdown seperti PKP1.0 dahulu..kilang-kilang tutup. Memang perit tetapi resultnya cepat...daripada sekarang PKP tapi makin parah," tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Mazlan Osman pula menyuarakan pendapat berbeza tentang PPN.
Dia berpendapat bahawa kerajaan perlu memudahkan cara dan pemahaman tentang fasa-fasa dalam PPN atau sebaliknya gunakan pembahagian zon seperti sebelum ini.
"Lebih baik dipermudahkan cara dan pemahaman kepada rakyat seperti Zon Merah,Zon Hijau, dan Zon Kuning...kemaskinikan semula fasa fasa ini...!!" komennya.
Ada juga di antara pengguna yang mengucapkan tahniah kepada negeri-negeri lain yang telah keluar dari fasa satu.
Mereka juga mendoakan agar negeri berkenaan dapat mengekalkan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang mantap supaya tiada lonjakan kes yang berlaku di sana. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram