Segerakan bantuan rakyat, maklum kes terkini Covid-19 - Ismail Sabri


  • Primer
  • Rabu, 01 Sep 2021

MESYUARAT pertama Ismail Sabri bersama ahli Kabinet hari ini diadakan secara sidang video dari rumah. — Facebook/Ismail Sabri Yaakob.

PERBINCANGAN tentang status terkini jangkitan Covid-19 di Malaysia merupakan antara intipati mesyuarat Kabinet pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu.

Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah menyegerakan bantuan untuk rakyat yang diumumkan sebelum ini.

Ismail Sabri dalam satu hantaran di laman sosial Facebook turut mengingatkan semua Menteri Kabinet untuk membuktikan pencapaian dalam tempoh 100 hari.

"Penekanan untuk status Covid-19 bertujuan untuk semua kementerian bergerak proaktif bagi pengukuhan tindakan tahap kesihatan demi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat utama kepada rakyat.

"Tindakan pantas dan bersepadu merupakan aspek utama bagi membebaskan Malaysia daripada ancaman wabak penyakit, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik yang telah dilalui oleh rakyat sebelum ini," tulisnya.

Tambah beliau, pihaknya akan memastikan kabinet ini berasaskan keberhasilan yang mengutamakan kestabilan dan keselamatan Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Ismail Sabri pada Rabu menjalankan mesyuarat pertama bersama ahli Kabinet secara sidang video dari rumah beliau.

Ismail Sabri kini sedang menjalani kuarantin di rumah selepas didapati ada kontak rapat dengan pesakit.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyatakan bahawa beliau juga akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dalam masa terdekat.

Antara perkara utama yang akan dibincangkan ialah berkaitan peralihan kawasan Lembah Klang ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang kini telah mencapai kadar vaksinasi melebihi 80 peratus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ismail Sabri, Kabinet, Mesyuarat, Covid-19