Kerajaan fokus daya tahan ekonomi melalui Belanjawan 2022


  • Bizz
  • Rabu, 01 Sep 2021

PEMULIHAN kehidupan rakyat menjadi salah satu fokus penting dalam Belanjawan 2022. — Bernama

BELANJAWAN 2022 (Bajet 2022) akan memfokuskan pada melindungi dan mendorong pemulihan dan kehidupan rakyat Malaysia selain membina semula daya tahan ekonomi dan menjadi pemangkin reformasi sosio-ekonomi.

Menurut kenyataan pra-belanjawan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) pada Selasa, belanjawan 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama iaitu pertama, meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara.

MoF juga menekankan kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi.

Selain itu, Belanjawan 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat atau perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan.

Tambah kementerian itu, Belanjawan 2022 akan memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan

"Belanjawan 2022 juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

"Di samping itu, usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan," menurut kementerian terbabit.

Tambah MoF, Belanjawan 2022 akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan.

"Belanjawan ini juga merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)," ujarnya.

Belanjawan 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama iaitu pertama; meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kedua; menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

"Ketiga; memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan,” menurut MoF.

Selain itu, kerajaan meneliti langkah bagi meningkatkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.

Antara cadangan dalam penelitian termasuk pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Melalui program ini, pembayar cukai digalakkan untuk tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa-apa cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM.

Langkah lain ialah memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baharu yang perlu dipatuhi oleh penender semasa mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan selain mengkaji semula layanan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil atau amalan yang menjejaskan serta melaksanakan nombor pengenalan cukai (TIN).

Ketika ini, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan perundingan bagi mendapatkan maklum balas serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan belanjawan yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia.

Belanjawan 2022 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober kelak. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram