PENGUMUMAN Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam sidang media sulungnya pada Rabu mengenai tiada laporan kematian berkaitan vaksin Covid-19 direkodkan, ternyata masih gagal untuk meyakinkan segelintir warga net.
Ada dalam kalangan netizen dilihat masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan kerajaan mengenai kesan sampingan susulan vaksin atau AEFI.
Salah seorang netizen, Aishah Rania dalam kenyataan balasnya di ruangan komen salah sebuah portal media di Facebook berkata, walaupun bukan secara langsung, vaksin dikatakan menjadi penyebab darah beku atau darah memekat yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi jantung.
"Vaksin salah satu penyebab risiko darah beku atau darah jadi pekat (Dr. Malar Santhi Santherasegapan pun ada sebut) secara automatik penyebab kegagalan jantung.
"Bila post-moterm mana boleh kesan vaksin (yang) bagi orang mati, memang sakit serangan jantung tapi penyebabnya oleh vaksin.
"Siapa nak bagi free RM500,000? Singapura negara kecil pun bertanggungjawab bagi pampasan," luahnya.
ANTARA komen di Facebook yang tidak berpuas hati dengan kenyataan Khairy semalam. — Facebook
Pada Rabu, Khairy memberitahu hanya 0.04 peratus daripada 1,000 dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mengalami kesan sampingan susulan imunisasi yang serius.
Katanya, tiada laporan kematian yang dikaitkan dengan pengambilan vaksin setakat ini.
Menurut beliau, melalui sistem pelaporan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) AEFI yang ada, kadar keseluruhan pelaporan yang diterima adalah 0.53 setiap 1,000 dos.
Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan RM500,000 sebagai bantuan khas kewangan kepada rakyat tempatan mahupun warga asing yang kehilangan upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin Covid-19.
Bantuan RM50,000 lagi, jelasnya, akan diberikan jika berlaku kesan sampingan serius kepada penerima vaksin Covid-19 sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Facebook, Nan Ferio turut mempertikaikan kenyataan Khairy.
"Please la tiada kematian, tak susah search dekat FB tu.
"Terjadi dekat arwah ayah kawan aku kesan sampingan on the spot.
"Ya mungkin dalaman kita lain-lain, dan aku bukan antivaksin tapi kenyataan tu macam tak betul," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook, Su Ismail turut meluahkan rasa terkilannya apabila mentuanya yang disahkan mengidap kanser paru-paru tahap 5 akhirnya meninggal dunia selepas menerima dos kedua vaksin.
"Kesihatan merosot selepas vaksin dos kedua Sinovac, daripada seorang yang sihat walafiat kepada seorang ibu yang jalan berpapah sehinggalah berkerusi roda dan terpaksa dimasukkan di wad bila kadar oksigen turun sehingga ke paras 77 peratus.
"Di wad arwah mentua saya berbalah dengan doktor, beritahu dia jadi macam ni selepas vaksin tapi doktor tak percaya, ditolak mentah.
"Kami terduduk bila diberitahu mertua kami kanser paru-paru stage 5, sebelum ni langsung tiada, hanya batuk-batuk dan memang ada follow up di hospital," dakwanya.
Dakwa Su Ismail, mentuanya menggigil serta mengadu sakit lutut yang teramat sangat selepas menerima suntikan vaksin.
"Sebaik terima suntikan mentua saya menggigil terus, hari ketiga mengadu sakit lutut yang teramat sangat sampai menangis, dan disitulah bermulanya semua kesakitan dia sehinggalah 24 Ogos, mentua saya menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Allahu, rasa terkesan sangat bila terkena dekat ahli keluarga sendiri, tenanglah mama di sana, Al-Fatihah," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram