KERAJAAN kini dalam rangka untuk mempersiapkan masyarakat untuk memasuki fasa endemik iaitu selepas 80 peratus orang dewasa dalam negara menerima vaksin pada akhir Oktober ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media sulungnya berkata, kementerian telah membuat ketetapan untuk menerima hakikat bahawa Covid-19 akan menjadi endemik dan semua pihak perlu hidup bersama dengan virus merbahaya ini.
Jelasnya, ini juga konsisten dengan pendekatan yang diambil negara lain.
“Kebanyakan negara sudah beralih daripada fasa total containment kepada fasa endemik apabila satu norma baharu diperkenalkan untuk hidup secara sihat dan selamat walaupun virus masih berada dalam kalangan kita.
“Dengan adanya vaksinasi, usaha untuk mengadakan perubahan tingkah laku ataupun behavioral change dan usaha untuk mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berterusan kita boleh masuk fasa baru iaitu fasa endemik Covid-19.
“Langkah ini akan membolehkan pelbagai sektor dalam negara dibukan dan kehidupan kita kembali berfungsi seperti sediakala dalam norma baharu,” katanya dalam sidang maya tersebut.
Menurut Khairy, usaha kini adalah untuk memastikan 80 peratus populasi dewasa negara telah menerima vaksin pada akhir Oktober.
“Kita akan tunggu dalam dua bulan ini untuk pastikan kita capai 80 peratus (kadar vaksinasi orang dewasa dalam negara) pada penghujung Oktober.
“Tapi kalau kita lihat Labuan dan Sarawak kini sudahpun memasuki fasa endemik, jadi apa yang boleh saya katakan adalah pada penghujung bulan Oktober kita akan sampai satu cut off point yang mana kita perlu lihat bagaimana untuk mula hidup dengan virus.
“Kita sudah hidup dengan virus ini sekarang tapi di sesetengah negeri kita masih bendung dan melakukan kawalan (need containment), tapi saya rasa pada penghujung Oktober ini, kita perlu hidup dengannya,” katanya ketika ditanya bila negara akan memasuki fasa endemik ini.
Jelas Khairy, kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah untuk memudahkan beberapa SOP sedia ada, supaya tidak terlalu banyak dan rumit.
Tambahnya, sebagai persediaan untuk memasuki fasa endemik, masyarakat perlu patuh kepada norma baharu dari segi SOP yang akan dimudahkan nanti, serta pemakaian pelitup muka.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tak ada perancangan untuk melonggarkan keperluan memakai pelitup muka.
“Kita sudah lihat pengalaman dari negara-negara lain yang melonggarkan keperluan pemakaian pelitup muka dan dengan adanya penularan varian-varian baharu mereka terpaksa memperkenalkannya semula keperluan memakai pelitup muka.
“Malaysia akan mengambil pendekatan untuk berhati-hati dan kita akan kekalkan keperluan memakai pelitup muka,” katanya.
Khairy berkata, kerajaan juga komited untuk meneruskan Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta memastikan seramai mungkin rakyat Malaysia dilindungi melalui vaksin.
Menurut beliau, apabila negara beralih kepada fasa endemik ini, satu lagi perkara penting yang perlu ditekankan adalah sikap tanggungjawab masyarakat untuk mematuhi arahan melakukan kuarantin kendiri.
“Apabila kita beralih kepada fasa endemik ini kalau kita tidak dapat patuhi segala syarat untuk kuarantin kendiri di rumah, kita tidak akan dapat hidup dengan virus ini dengan selamat sebab itu kita akan tekankan sikap bertanggungjawab apabila menjalan kuarantin di rumah,” katanya.
Sementara itu, Khairy memaklumkan daripada 20,000 permohonan daripada rakyat Malaysia yang kembali ke negara dan ingin menjalani kuarantin kendiri di rumah, hanya 4,169 permohonan diluluskan manakala selebihnya diwajibkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan.
Jelasnya, 400 daripada 4,169 individu yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah kini memakai alat peranti digital yang kini berada di fasa perintis yang mana penggunaan peranti ini akan diperluaskan sekiranya keberkesanannya terjamin.
Menurut Khairy, kementeriannya juga sedang melihat untuk memperkenalkan Polisi Ujian Kebangsaan.
“Apabila kita memasuki fasa endemik, tidak kira sama ada kita sudah menerima vaksin atau tidak, kita perlu menjalani ujian secara kerap dan oleh sebab itu juga kita ingin pastikan kit ujian dijual pada harga yang berpatutan dan mudah didapati.
“Mereka yang enggan untuk menerima vaksin perlu mengikut jadual atau regime ujian yang ditetapkan,” jelasnya sambil menambah bahawa Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dijangka membuat penggumuman mengenai harga syiling yang ditetapkan terhadap kit ujian Covid-19 dalam masa terdekat.
Sementara itu Khairy berkata, walaupun setakat negara tidak mewajibkan pengambilan vaksin, kementerian bagaimanapun mengalakkan penggunaan sectoral persuasion.
“Sectoral persuasion ini bukan undang-undang tapi sekiranya satu-satu syarikat itu menetapkan sekiranya pekerja mereka ingin hadir ke mesyuarat atau kerja mereka perlulah lengkap vaksin, maka ini terpulang pada syarikat tersebut,” jelasnya.
Khairy bagaimanapun berkata, dia berharap individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan untuk tampil mengambil vaksin secara sukarela.
“Saya tidak sampai lagi di satu tahap yang mana saya akan menasihatkan Kabinet untuk mewajibkan vaksinasi tapi ini tidak bermakna saya tidak akan lakukannya,” katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram