'Tiada kematian angkara suntikan vaksin'


  • Primer
  • Rabu, 01 Sep 2021

KHAIRY juga komited untuk pastikan persekitaran sekolah selamat untuk kanak-kanak. — Bernama

TIADA kematian yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM) disebabkan oleh penerimaan vaksin Covid-19 sejak Program Imunisasi Covid-19 (PICK) dijalankan sehingga kini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, daripada 34.4 juta vaksin yang telah diberikan setakat 30 Ogos, hanya 0.53 per 1,000 kes purata kesan sampingan vaksin Covid-19 telah diterima KKM.

Menurut beliau, jumlah purata kesan sampingan atau AEFI (Adverse Event Following Immunization) itu diterima melalui Sistem Pelaporan AEFI dalam MySejahtera.

Daripada jumlah itu jelas beliau, hanya 0.04 per 1,000 kes AEFI yang dilaporkan melibatkan kes serius yang memerlukan pemantauan di hospital.

“Sehingga hari ini saya ingin tegaskan tidak ada satu pun kes kematian yang menunjukkan kaitan secara langsung dengan vaksinasi.

“Untuk melegakan hati rakyat, kita akan keluarkan lebih banyak data mengenai AEFI minggu depan,” katanya pada sidang media secara maya pada Rabu.

Justeru, kata Khairy, KKM akan berkongsi semua data dan maklumat kepada orang ramai bermula minggu depan.

Jelas beliau, ketetapan itu dibuat bagi memastikan tiada lagi dakwaan bahawa kementerian berkenaan merahsiakan data yang diperoleh.

“Saya telah membuat ketetapan supaya budaya kerja Kementerian Kesihatan Malaysia lepas ini lebih telus supaya soal kepercayaan pada kerajaan dan respons KKM kepada pandemik ini, tidak lagi ada tuduhan kerahsiaan atau pun tembok mklumat tidak dapat kita perolehi daripada kerajaan,” katanya.

Khairy berkata, KKM juga akan memberi tumpuan kepada beberapa buah negeri yang menunjukkan peningkatan jumlah harian kes Covid-19.

Menurut beliau, satu usaha segera perlu dilakukan untuk memastikan penularan Covid-19 di beberapa buah negeri antaranya Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan dapat dikekang.

“Satu usaha segera diperlukan untuk memastikan penularan Covid-19 di beberapa negeri dapat dibendung secepat mungkin.

Sense of urgency ini telah kita lihat melalui penubuhan Greater Klang Valley Task Force yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Chong Chee Kheong pada bulan April, jadi kita akan membawa fokus dan intensiti yang sama kepada beberapa buah negeri yang sedang berhadapan dengan penularan kes yang tinggi.

“Antara negeri yang kita akan beri fokus dalam beberapa hari dan minggu akan datang adalah Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan,” katanya.

Menurut Khairy, negeri-negeri tersebut bukan hanya akan menerima lebih bekalan vaksin tetapi juga tenaga kerja dan aset-aset perubatan yang akan dibawa daripada negeri-negeri yang tidak lagi memerlukan aset dan tenaga kerja berlebihan.

Usaha ini jelasnya, adalah untuk memastikan kes harian dan bilangan penduduk Malaysia yang terpaksa dimasukkan ke hospital, ataupun mengalami gejala yang serius dan kematian boleh dikurangkan.

Sementara itu, Khairy juga memberi komitmen kepada ibu bapa bahawa kementeriannya akan memastikan persekitaran di sekolah, termasuk guru-guru, penjual kantin, pekerja am, pemandu bas sekolah dan lain-lain, juga akan diberi vaksinasi untuk melindungi kanak-kanak bawah 12 tahun yang masih belum boleh menerima vaksin.

Menurutnya, kerajaan akan membuat pertimbangan untuk memberi vaksinasi kepada kanak-kanak setelah mempunyai data yang mencukupi mengenai kesan vaksin tersebut.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Khairy Jamaluddin, Covid-19, AEFI