AZAN mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. Azan merupakan zikir khusus yang disyariatkan sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardu serta menyeru orang Islam bersama-sama menunaikan solat.
Hukum azan bagi solat fardu dan solat qada adalah sunat muakkad, sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ‘ainiah bagi solat secara bersendirian.
Pada asasnya, hukum menjawab azan adalah sunat muakkad iaitu sunat yang dituntut.
Ketika azan dilaungkan, umat Islam diseru agar meninggalkan sebentar segala aktiviti yang sedang dilakukan, dan dalam masa sama menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan.
Bagaimanapun, timbul dakwaan yang menyatakan bahawa lidah akan menjadi kelu dan berat ketika meninggal dunia sekiranya seseorang itu bercakap semasa azan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi rangkaian media sosialnya, Maktabah Al-Bakri pernah menjelaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar dan ia sama sekali tidak boleh disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Zulkifli memberi penjelasan berhubung beberapa persoalan tentang agama menerusi rangkaian media sosialnya, Maktabah Al-Bakri.
Menurutnya, bercakap ketika azan dibolehkan dan ia tidak menjadi satu kesalahan apabila melakukannya.
"Kita sama sekali tidak boleh meriwayatkannya kepada Nabi Muhammad SAW kerana ia merupakan satu pendustaan atas nama junjungan besar Rasulullah jika kita melakukan hal sedemikian.
"Namun begitu, jika percakapan tersebut boleh mengganggu seseorang untuk menjawab azan yang dilaungkan, maka lebih baik kita berhenti bercakap seketika kerana menjawab azan adalah sunah," ujarnya.
Dalam kitab Al-Muwatta, Imam Malik telah meriwayatkan athar (sikap atau perbuatan) seorang sahabat Nabi Muhammad SAW, Tha’labah yang mengatakan jemaah segera berdiam diri untuk mendengar khutbah.
أَنَّهُمْ كَانُوا فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ يُصَلُّونَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ حَتَّى يَخْرُجَ عُمَرُ فَإِذَا خَرَجَ عُمَرُ وَجَلَسَ عَلَى الْمِنْبَرِ وَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُونَ قَالَ ثَعْلَبَةُ جَلَسْنَا نَتَحَدَّثُ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُونَ وَقَامَ عُمَرُ يَخْطُبُ أَنْصَتْنَا فَلَمْ يَتَكَلَّمْ مِنَّا أَحَدٌ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ فَخُرُوجُ الْإِمَامِ يَقْطَعُ الصَّلَاةَ وَكَلَامُهُ يَقْطَعُ الْكَلَامَ
Maksudnya: Mereka menunaikan solat Jumaat di zaman Umar al-Khattab sehingga Umar keluar. Apabila Umar keluar dan duduk di atas mimbar maka azan dilaungkan oleh muazzin. Telah berkata Tha’labah: Kami duduk dan bercakap. Apabila muazzin selesai dan Umar pun berdiri untuk menyampaikan khutbah maka kami pun diam dan tidak ada seorang daripada kami pun yang bercakap. Telah berkata Ibn Syihab: Keluarnya imam menghentikan solat dan khutbah imam menghentikan percakapan.
Umat Islam diseru agar meninggalkan sebentar segala aktiviti yang sedang dilakukan dan dalam masa sama menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan.
Berdasarkan keterangan di atas, walaupun dibenarkan untuk bercakap ketika azan dilaungkan, tetapi adalah lebih baik jika umat Islam menghindari perbuatan berkenaan.
"Melainkan apa yang diucapkan itu merupakan hal atau perkara yang penting dan dalam masa sama ia tidak mengganggu seseorang untuk menjawab azan," jelasnya.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menjelaskan, antara perbuatan sunah yang perlu dilakukan oleh mereka yang sedang mendengar azan adalah berdiam diri dan menjawabnya sama ada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haid, besar atau mumayyiz (belum mencapai akil baligh).
Selain itu, umat Islam digalakkan untuk berselawat ke atas Rasulullah SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada ALLAH SWT dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.
"Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan juga berdoa selepas azan dan sebelum iqamah," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram