Ke mana perginya manusia jika timbangan dosa-pahala Mizan seimbang?


  • Mukmin
  • Khamis, 20 Okt 2022

Timbangan amal (Mizan) adalah tempat penentuan seseorang hamba ALLAH itu sama ada akan ditempatkan di syurga atau neraka. — Gambar hiasan

SELALUNYA, kejayaan seseorang di dunia diukur dengan wang ringgit, harta benda, rupa paras ataupun prestasi kerja mereka.

Cuma, ALLAH SWT tidak memandang kejayaan tersebut sebagai suatu kebanggaan ketika di alam akhirat.

Sebaliknya, apa yang menjadi bekalan di hari perhitungan kelak hanyalah amalan yang dilakukan oleh seseorang sewaktu hidup.

Oleh itu, malaikat Raqib dan Atid masing-masing ditugaskan untuk mencatat amalan baik serta buruk seseorang manusia.

Bagi menghitung kebaikan dan kejahatan manusia di dunia, ALLAH mencipta alat penimbang, Al-Mizan.

Timbangan amal (Mizan) adalah tempat penentuan seseorang hamba ALLAH itu sama ada akan ditempatkan di syurga atau neraka.

Jika berat pahala ataupun kebaikannya, maka syurgalah balasannya begitu juga jika berat dosa (amalan buruk), nerakalah balasan yang akan diterima seseorang itu.

Firman ALLAH SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat, maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun, dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung), dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.” (Surah al-Anbiya’, ayat 47)

Namun, apa yang menjadi persoalan dalam kalangan pengguna media sosial adalah tentang apa yang akan berlaku sekiranya situasi timbangan seseorang itu seimbang?

Mengulas isu tersebut, Mutfti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed menyatakan bahawa ALLAH SWT tidak akan bersikap kejam terhadap hamba-Nya.

ktbsimufti 3Kelantan Mufti Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Mohamad Shukri berkata, ALLAH SWT tidak akan bersikap kejam terhadap hamba-Nya.

Sebalinya, Sang Pencipta akan terus bermurah hati untuk mengampun dan memberi lebih banyak pahala kepada manusia.

"Dia tidak kejam dengan hambanya. ALLAH bagi yang baiklah. Jika sama berat, ALLAH ini sifatnya Maha Penyayang, Maha Pengampun, jadi Dia tidak akan kejam untuk memberi keburukan.

"ALLAH akan bagi yang bahagian kebaikan buat hamba-Nya. Itu kemurahan ALLAH SWT, " katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, Mohamad Shukri menjelaskan dosa besar seperti menyekutukan ALLAH SWT tidak akan diampuni melainkan seseorang itu bertaubat.

"Dosa macam mana pun yang seseorang manusia lakukan itu akan dihapus melainkan dosa syirik.

"Dosa-dosa lain insya-ALLAH akan diampunkan. Dia tidak akan sama berat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram