BARU-BARU ini tular sebuah video memaparkan seorang remaja perempuan menangis teresak-esak mendapat tahu koleksi Korean Pop (Kpop) peribadinya hangus dibakar apabila minatnya tidak direstui ibu bapanya.
Menerusi video yang dikongsi oleh pengguna TikTok, cikatien menunjukkan pelajar sekolah itu masuk ke dalam bilik sambil menangis selepas mendapati barang kegemarannya itu dibakar.
Menurut pengguna TikTok yang juga ibu remaja berkenaan, koleksi yang dibakar itu sebahagiannya diberikan oleh kawannya sebagai hadiah dan ada juga dibeli dengan harga mahal.
Video berkenaan meraih pelbagai reaksi yang mana ramai meluahkan rasa simpati dan berasakan tindakan ibu bapanya itu adalah keterlaluan dan tidak wajar.
Turut mengulas isu berkenaan, pendakwah bebas, Ustaz Suhail Sufian berpendapat tindakan ibu bapa remaja itu adalah tidak wajar sekiranya tidak mendidik anaknya dengan cara yang betul.
Menurutnya, sesetengah ibu bapa seperti tidak tahu bagaimana untuk mendidik anak-anak dan cara untuk merawat golongan remaja itu daripada leka mendengar Kpop.
Suhail Sufian berpendapat tindakan ibu bapa remaja itu adalah tidak wajar sekiranya tidak pernah mendidik anaknya dengan cara yang betul.
Baginya, tidak semua budaya Korea itu melekakan ataupun membawa perkara negatif kerana pasti ada sisi positif yang boleh dijadikan contoh kepada golongan remaja.
“Bila baligh, dalam Islam tidak menggalakkan dan makruh mendidik anak dengan mendera fizikal. Kena bincang secara matang sebab anak itu sudah dalam keadaan ada tanggungjawab.
“Isu dalam kes ini mungkin ibu bapa terperangkap dan tidak tahu macam mana nak didik anak. Tidak tahu macam mana nak rawat anak dia dari dengar Kpop kepada tak dengar Kpop.
“Ibu bapa ada kalanya kurang berhikmah bila berdepan anak-anak.
“Dalam keadaan itu, kita kena lihat dua situasi iaitu bagaimana ibu bapa perlu bimbing dan didik anak-anak. Macam mana nak didik berdasarkan al-Quran dan sunnah, dengan tegas atau kasih sayang.
“Yang kedua mungkin juga anak dia tergila-gilakan Kpop sampai tak belajar dan tak tolong ibu bapa. Dalam dua situasi ini apa yang terbaik ialah ibu bapa perlu ubah akidah dan ibadah dahulu,” katanya kepada Majoriti.
Tegasnya, kedua-dua pihak iaitu golongan ibu bapa dan anak-anak perlu sama-sama belajar menerima nasihat bagi mengelakkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram