Mufti tegur penceramah supaya guna kitab sahih, jangan sibuk kejar populariti


  • Mukmin
  • Khamis, 22 Sep 2022

Seorang penceramah perlu merujuk kitab-kitab yang sahih sebelum memetik sebarang ayat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berlaku. — Gambar Hiasan

TIDAK dapat dinafikan media sosial merupakan medium buat masyarakat kini mendapatkan pelbagai maklumat, hiburan dan termasuklah ada yang menggunakan platform itu sebagai akses untuk menimba ilmu agama.

Platform media seperti Youtube, Instagram, Facebook dan TikTok menjadi alat utama golongan pendakwah berkongsi ilmu ataupun memberi teguran secara umum.

Dengan lambakan golongan pendakwah dari pelbagai platform, tidak kurang juga ada situasi yang membuatkan segelintir masyarakat berasa sangsi dengan inti pati ceramah mereka.

Seperti yang disuarakan oleh seorang pengguna media sosial mengenai sikap sesetengah penceramah yang gemar memetik ayat Al-Quran untuk dijadikan bahan ceramah tanpa melihat kitab tafsir terlebih dahulu.

Tampil mengulas mengenai perkara itu adalah Mutfti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed.

Mohamad Shukri berkata, jika seseorang penceramah menyampaikan ilmu perlu merujuk kitab-kitab yang sahih bagi mengelakkan sebarang kekeliruan berlaku.

mufti kelantan

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed.

Hal ini kerana, pendakwah memainkan peranan untuk menyampaikan pengajaran Islam yang benar dan sahih bagi memberi kefahaman kepada masyarakat.

"Kita mengharapkan ustaz-ustaz ini menyampaikan pengajaran Islam yang benar dan sah. Jadi yang sah mesti merujuk kepada kitab-kitab yang diperakukan. Kitab-kitab ini ada yang tulis tanpa merujuk kepada sumber-sumber yang sah.

"Tujuan juga sampaikan ajaran agama supaya masyarakat faham dan tidak keliru. Jadi elakkan menyampaikan pengajaran-pengajaran yang boleh mengelirukan," katanya kepada Majoriti.

Malah, beliau juga menasihati agar jangan jadikan kerjaya pendakwah sebagai tiket untuk mengejar populariti di media sosial.

Mufti Kelantan itu turut memberi pesanan bahawa jika ingin bergelar seorang penceramah, menuntut ilmu dengan guru adalah cara sesuai untuk mendapatkan sumber sahih.

"Dalam Islam banyak kaedah-kaedah ini perlu dipatuhi. Kadang-kadang satu perkara itu hanya khusus untuk individu tapi kita sebarkan seolah-olah kegunaan awam.

"Contoh kita bermimpi, tak perlu hebahkan kepada sesiapa. Mimpi itu untuk kau sahaja. Itu adalah benda khusus untuk anda. Jangan sebar atau kongsi dengan ustaz-ustaz, takut ada isu lain.

"Boleh sampaikan perkara yang betul tapi kena berguru. Mesti ada sumber yang sah. Kalau dari segi akidah sumber dia ahli Sunnah Wal Jamaah," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram