'Berani buat, berani tanggung,' wanita berpakaian ihram lelaki di Mekah digesa tampil bantu siasatan


  • Primer
  • Ahad, 18 Sep 2022

Tangkap layar gambar wanita pengkid yang menunaikan umrah memakai ihram lalu mendapat kecaman orang ramai.

PIHAK berkuasa agama masih terus menjejaki seorang wanita berpakaian ihram lelaki di Mekah seperti yang tular menerusi satu rakaman video baru-baru ini, bagi membantu siasatan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, terdapat laporan mengatakan individu tersebut berada di Selangor dan pihak berkuasa agama di negeri itu akan dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

"Kita tak tahu dekat mana dia duduk. Sepatutnya dia kena berani sebab dia tunjuk gambar, jadi tak hebatlah. Patut kalau berani tunjuk depan Kaabah seolah-olah nak timbulkan provokasi, tapi kenapa takut. Patut berani buat, beranilah tanggung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad di Gelanggang Futsal Bukit Gantang pada Ahad.

Menurutnya, tindakan undang-undang melibatkan hal ehwal agama tertakluk kepada bidang kuasa jabatan agama negeri masing-masing.

"Kena ingat bidang kuasa bertindak ini di bawah pihak berkuasa agama negeri. Ada prosedurnya bukan dibuat semborono," katanya.

Beliau berkata, semua pihak berkuasa agama akan dimaklumkan jika terdapat maklumat diterima mengenai keberadaan individu berkenaan.

Dalam pada itu, Idris turut menafikan bahawa pihaknya lambat bertindak dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan agama Islam.

Jelasnya, beberapa tindakan telah diambil dan diselesaikan selain memaklumkan kepada pihak berkuasa agama negeri mengikut peruntukan ditetapkan.

Terdahulu, pada 12 Ogos lalu, media melaporkan tindakan tegas menanti wanita terbabit berikutan tular di Twitter mengenai tindakannya yang berada dalam keadaan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah lelaki di Mekah. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram