Siap nyanyi lagu Ogy Ahmad Daud, pelajar Jepun teruja sambut Hari Malaysia


  • Massa
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Hiramatsu (kiri), Shimizu dan Kato kagum dengan semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

SEKUMPULAN pelajar universiti dari Tokyo, Jepun teruja melihat sambutan bulan kebangsaan yang diraikan rakyat Malaysia.

Seorang pelajar Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), Reon Shimizu berkata, dia kagum dengan semangat kenegaraan yang ditunjukkan masyarakat di negara ini terutama ketika menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti Jalur Gemilang.

Pelajar berusia 20 tahun itu yang kini berada di Malaysia dalam rangka lawatan sambil belajar berpeluang meraikan sambutan bulan kebangsaan di Kolej Pengajian Islam Johor, Johor Bahru, Johor.

“Memang teruja dan menarik bila lihat bagaimana peristiwa bersejarah Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia disambut oleh penduduk tempatan dengan aktiviti seperti perarakan dan karnival.

"Pengalaman ini meninggalkan kesan yang mendalam buat saya,” kata Shimizu.

Pada sambutan itu, perwakilan Jepun terdiri daripada 13 pelajar TUFS dan seorang pensyarah menyertai sambutan itu dengan memakai pakaian tradisional iaitu baju Melayu dan baju kurung.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Wakana Kato, 20, berkata, dia mengikuti kursus Bahasa Malaysia kerana rasa ingin tahu tentang bahasa itu dan keinginannya untuk bekerja di Asia Tenggara pada masa hadapan.

“Saya sedar kelebihan mempelajari bahasa asing, dan memandangkan Bahasa Malaysia digunakan secara meluas oleh beberapa negara di rantau ini, saya ingin mempelajari bahasa itu.

“Melalui pembelajaran bahasa asing, kita dapat belajar tentang budaya, sejarah dan amalan negara,” tambahnya.

Rakan sekelasnya, Ichika Hiramatsu, 20, pula mempesonakan penonton dengan nyanyian lagu Pesanan Ibu dendangan asal, Fauziah Ahmad Daud.

Menurutnya, dia mengambil masa sebulan untuk membuat persiapan untuk persembahan itu.

Kongsinya lagi, salah satu cabaran ialah untuk memahami sebutan dengan betul dan memerlukan banyak latihan bagi menghafal lirik.

Selain itu, Hiramatsu dan rakan-rakannya turut teruja kerana dapat merasai pelbagai hidangan terkenal di negara ini sepanjang 18 hari lawatan ke Sarawak, Perak, Putrajaya, Melaka dan Johor.

"Makanan kegemaran saya setakat ini ialah nasi lemak dan saya diberitahu oleh rakan-rakan lain bahawa ia ialah juadah kebangsaan," katanya yang bercadang untuk melawat Malaysia bersama keluarganya tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Rektor Kolej Pengajian Islam Johor, Dr Hussin Salamon berkata, program pertukaran budaya anjuran Jabatan Agama Islam Johor itu bertujuan membuka mata pelajar kedua-dua negara terhadap budaya dan penggunaan bahasa yang berbeza.

“Selain mempamerkan sambutan bulan kebangsaan negara dan amalan tradisi, kami juga menawarkan lima tempat di kolej buat pelajar TUFS yang berminat melanjutkan pelajaran di Malaysia,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram