Mahu balas jasa ibu, pelajar Politeknik lumpuh separuh badan tabah harungi ujian


  • Massa
  • Rabu, 14 Sep 2022

Muhammad Rafiq memerlukan kirakira lebih RM2,500 sebulan bagi menampung kos ubat dan perubatan. — LOW BOON TAT/THE STAR

MELIBATKAN diri dalam aktiviti sukan dan kokurikulum menjadi satu kebiasaan buat pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Lang, Selangor, Muhammad Rafiq Aiman Mohd Rizzuan.

Pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) itu sentiasa menyibukkan diri dengan kuliah dan kegiatan luar kelas.

Bagaimanapun, perkara itu tidak lagi mampu dilakukan selepas dia mengalami masalah sakit tulang belakang dan gangguan saraf sejak Mac 2020.

Ekoran itu, pelajar tahun akhir berkenaan terpaksa menangguhkan sesi pembelajarannya untuk sesi 2022/2023.

Pada awalnya, Muhammad Rafiq, 21, hanya mampu terbaring di katil sementara semua keperluan diuruskan oleh ahli keluarga lain.

Masalah kesihatan yang dialami mengakibatkan kaki kanannya menjadi pendek sedikit berbanding sebelum ini. Sementara itu bahagian otot tiba-tiba mengecut sehingga menyebabkan penurunan berat badan ketara daripada 60 kilogram (kg) kepada 48 kg.

interview remaja lumpuh untuk kisah masyarakat- LOW BOON TAT/THE STAR

Anita membantu Muhammad Rafiq merapikan diri setelah anaknya mengalami lumpuh separuh badan sejak 2020.

Menurut Muhammad Rafiq, penyakit itu turut mengakibatkan dadanya bengkak dan kini mengeluarkan nanah.

"Awalnya apabila perkara itu berlaku saya memang berasa sangat kecewa dan berputus asa. Bayangkan dahulu saya aktif dalam aktiviti kawad kaki, tetapi sekarang jadi begini.

"Setelah setahun, secara perlahan-lahan saya sudah boleh menggerakkan kaki, tangan dan badan. Sesekali saya akan ke tandas sendiri, namun jika berasa kurang yakin saya akan meminta pertolongan daripada adik beradik lain.

"Pernah sebelum ini saya tergelincir di tandas, tetapi Alhamdulillah tiada kecederaan serius. Sejak itu saya berasa bimbang untuk pergi sendiri melainkan benar-benar yakin boleh melakukannya," jelas Muhammad Rafiq ketika ditemui Majoriti.

Keperluan ubat-ubatan

Selain daripada bergantung kepada ubat-ubatan yang dianggarkan bernilai RM2,500 sebulan, Muhammad Rafiq juga perlu menyediakan kelengkapan untuk mencuci luka.

"Sebelum ini saya ada cuba beberapa jenis ubat dan makanan tambahan, namun sebilangannya tidak menjadi sehinggalah saya mencuba satu produk dari Amerika Syarikat.

Untitled design (8)

Dada Muhammad Rafiq kini bernanah.

"Harganya agak mahal namun disebabkan terpaksa saya perlu kerana itu sahaja yang serasi dengan badan.

"Dada yang bengkak akan menyebabkan kulit menjadi keras dan mengeluarkan nanah seperti bisul pecah.

"Disebabkan itu, saya perlu sentiasa membersihkannya setiap hari. Semuanya melibatkan kos yang mencecah ratusan ringgit sebulan," jelasnya.

Balas jasa ibu

Sebagai anak sulung dalam keluarga, Muhammad Rafiq berasakan dia perlu memikul tugas besar terutama buat kedua orang tuanya.

Memandangkan dirinya memerlukan pemerhatian khusus, pendapatan bapanya, Mohd Rizzuan Zainordin yang bertugas sebagai kerani manakala ibunya, Anita Mohd Sehak menjalankan jualan langsung penapis air dan kelengkapan rumah masih kurang mampu untuk menampung kos rawatannya.

"Awalnya tulang belakang saya bengkok dan sukar untuk berdiri tegak. Disebabkan itu, saya perlu menjalani rawatan fisioterapi dan memerlukan kos tinggi.

"Seminggu sekitar tiga kali dan semua rawatan perlu dibuat di hospital swasta. Bukan tidak mahu ke hospital kerajaan tetapi menunggu giliran dan pesakit yang terlalu ramai membuatkan saya tiada pilihan.

"Semua itu ditanggung oleh kedua orang tua termasuk membelikan tilam dan bantal khas bernilai RM2,000 untuk saya," jelasnya.

Berkongsikan kisah pengorbanan kedua orang tuanya, sesekali terlihat matanya berkaca menahan sebak.

interview remaja lumpuh untuk kisah masyarakat- LOW BOON TAT/THE STAR

Anita bersama Muhammad Rafiq sambil menunjukkan beberapa pingat yang dimenanginya dalam aktiviti kokurikulum.

"Doktor memaklumkan saya akan sembuh dalam tempoh masa satu atau dua tahun, namun segalanya mengikut keadaan.

"Selepas sembuh nanti, saya mengharapkan dapat mencari kerja dan membantu meringankan beban keluarga. Sebagai anak sulung, saya seharusnya membantu keluarga dan adik beradik, tetapi sekarang sebaliknya yang berlaku.

"Paling utama saya ingin membalas jasa ibu. Sesungguhnya segala semangat yang saya miliki ini semuanya datang daripada ibu. Sejak awal ibu tidak pernah patah semangat dan terus percaya saya akan pulih seperti sediakala," katanya.

Bantuan

Sementara itu bagi Anita, dia mengambil masa sekitar setahun untuk terbuka menceritakan tentang tahap kesihatan anaknya.

Sebelum ini, dia juga pernah beberapa kali memohon untuk mendapat bantuan daripada pihak Zakat namun masih belum mendapatkan kata putus.

Dirinya sekeluarga bersyukur apabila mendapat perhatian daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang membantunya dalam memenuhi beberapa keperluan Muhammad Rafiq.

interview remaja lumpuh untuk kisah masyarakat- LOW BOON TAT/THE STAR

Pergerakan Muhammad Rafiq kini terbatas dan dia banyak menghabiskan masa berbaring di katil.

"Saya segan untuk bercerita masalah dengan orang. Bimbang nanti dikatakan terlalu meminta tanpa usaha. Saya tidak mahu orang mengatakan saya ini sengaja meminta simpati dengan apa yang berlaku,

"Sesungguhnya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya juga mempunyai seorang anak berusia lapan tahun yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal.

"Saya tidak tunjuk sedih depan anak sebab saya sahaja perempuan dalam keluarga. Empat anak dan suami semua lelaki.

"Bagi mengelakkan rasa sedih melihat keadaannya, kadangkala saya hanya akan menghantar mesej kepada Along (Muhammad Rafiq) meskipun bilik kami sebelah-menyebelah untuk bertanya tentang kesihatannya," terangnya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, boleh salurkan sumbangan ke akaun Bank Islam, 1212 2024 8950 60 atas nama Muhammad Rafiq Aiman.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram