Jurulatih penerbangan cedera nahas pesawat di Ipoh pindah ke hospital di Damansara


  • 112
  • Rabu, 03 Ogos 2022

Pesawat ringan jenis Piper 28 yang dinaiki dua jurulatih terhempas dalam nahas di Ipoh pada Isnin. — Sinar Harian

JURULATIH penerbangan yang terselamat dalam insiden pesawat terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng, Perak pada Isnin lepas, telah dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Damansara, Selangor pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, yang mengalami kecederaan dan kini berada dalam keadaan stabil, dipindahkan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh ke hospital lain untuk menerima rawatan lanjut atas permintaan keluarga mangsa.

"Difahamkan mangsa akan menjalani pembedahan pada Rabu," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Dalam insiden kira-kira 8 malam Isnin itu, jurulatih penerbangan Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera, dengan kedua-dua jurulatih penerbangan tersebut dilaporkan berlepas dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian berlaku.

Jenazah Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di Semenyih, Selangor pada Selasa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram