Kos tinggi tak logik kadar badal haji hanya RM1,500


  • Massa
  • Rabu, 22 Jun 2022

Kerajaan Arab Saudi mengawal kemasukan ke kawasan-kawasan haji pada musim haji kali ini sekali gus menyukarkan kemasukan tanpa permit. — Agensi

PENAWARAN khidmat badal haji dengan bayaran serendah RM1,500 yang diiklankan di media sosial khususnya Facebook menimbulkan keraguan banyak pihak tentang sejauh mana tahap sah Rukun Islam kelima itu.

Bayaran serendah RM1,500 yang dikenakan agensi pelancongan umrah dan haji itu didakwa sebenarnya tidak mencukupi bagi menampung kos pelaksanaan ibadat haji yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM12,000 mengikut kadar semasa yang ditentukan keajaan Arab Saudi ketika ini.

Mengikut Islam, badal haji atau upah haji diharuskan oleh syarak, iaitu seseorang Islam yang terhalang kerana penyakit, usia tua dan kematian atau waris mereka memberi upah kepada orang lain untuk melaksanakan ibadat berkenaan.

Tinjauan Majoriti di Facebook mendapati terdapat beberapa agensi pelancongan umrah dan haji yang menawarkan khidmat badal haji antara harga RM1,500 hingga RM3,500 yang disifatkan tidak masuk akal.

Bukan sahaja murah, iklan-iklan itu malah membuat penawaran perkhidmatan tahlil dan khatam al-Quran bagi menarik perhatian orang ramai.

Tak cukup dengan itu, pakej tersebut disertakan dengan sijil pelaksanaan badal haji dan cenderahati dalam bentuk air zam-zam, kurma, mini telekung, kopiah, sejadah, tasbih, kayu sugi dan minyak wangi Mekah.

Mereka mendakwa pelaksanaan badal haji dengan kadar upah rendah dapat dibuat dengan mendapatkan khidmat pelajar Malaysia di Mekah dan Madinah, selain mengupah orang Indonesia yang kononnya mengenakan kadar rendah kerana tiada masalah pertuturan bahasa.

286022103_8525069920851683_6470603466095819898_n

Kadar pakej harga badal haji seperti yang dikongsikan MutahedCom.

Berdasarkan perkongsian @MutahedCom iaitu majlis penyelaras bagi institusi dan syarikat yang berkhidmat untuk jemaah haji di Mekah, pelaksanaan badal haji boleh mencecah Saudi Riyal 14,737.83 (RM17,292.51) meliputi kos penginapan, makan minum, khemah, klinik, pembimbing dan urusan berkaitan ibadat itu di Arafah dan Mina.

Harga pakej itu bagaimanapun tidak termasuk kos pengangkutan jemaah ke Mekah dan Cukai Nilai Tambah (VAT).

Secara keseluruhan kos minimum untuk menguruskan ibadat itu hingga selesai adalah kira-kira Saudi Riyal 10,238.57 (RM12,013.34).

"Kos penginapan, pengangkutan, makanan dan lain-lain yang tinggi tidak memungkinkan kadar upah yang rendah seperti ditawarkan iklan-iklan berkenaan," kata Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi Cawangan Madinah (Persada), Afif Nu'man Azamiruddin.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyukarkan pelajar di Madinah untuk menunaikan haji antaranya permit haji yang harus dibeli dan tidak mudah diperoleh secara percuma seperti dahulu.

Tambahan pula, Kerajaan Arab Saudi betul-betul ketat dalam mengawal kemasukan ke kawasan-kawasan haji yang mana semua tempat perlu mengimbas kod bar sekali gus menyukarkan kemasukan tanpa permit seperti sebelum ini.

"Orang ramai khususnya rakyat Malaysia dinasihatkan lebih berhati-hati dan menyelidik maklumat terlebih dahulu berkenaan perkhidmatan badal haji yang ditawarkan pihak atau agensi tertentu," katanya.

iklan badal haji

Antara iklan pakej upah haji yang menawarkan harga rendah di Facebook.

Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di Arab Saudi, Abu Nuha Nuwairah yang berpengalaman menjadi mutawif berkata bahawa agak mustahil bagi penduduk di Mekah boleh menunaikan ibadah haji, apatah lagi badal haji, tanpa berdaftar secara rasmi.

"Penduduk Mekah tidak terkecuali mesti dapatkan permit haji. Masuk masjid, tempat masyair haram dan lain-lain kena imbas kod bar. Jika gagal dan ditangkap, denda Saudi Riyal 10,000 (RM11,711.40) dan banned daripada negara itu selama 10 tahun. Adakah logik orang ambil risiko untuk denda tersebut?

"Jika ada yang kata yang buat haji badal tersebut adalah pembimbing atau pekerja musim haji (permit kerja), dipersila untuk buat badal haji. Persoalannya, adakah mereka sanggup laksanakan pada harga RM2,000 ke RM2,500?

"Cuba tukarkan kepada riyal, tinggal berapa sahaja. Bahkan tawaran haji yang dikemukakan bagi hadiah kurma, sejadah, air zam zam dan lain-lain. Semua itu adalah kos," katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.

Katanya, sebagai kesimpulan, orang ramai perlu berfikir logik sebelum mengupah haji badal kepada mana-mana wakil syarikat pengendali.

"Kos makin naik, ada orang sanggup ke ambil badal yang tawarannya sama sahaja 10 tahun lepas? Nasihat saya, carilah orang yang betul-betul dipercayai.

"Cari pembadal dan update dengan pembadal terus perjalanan hajinya. Minta dia rakam lafaz niat haji dengan sebut nama si mati supaya kita rasa yakin tertunainya haji untuk arwah," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram