Bagi hadiah kahwin tidak senonoh, hentikan budaya jenaka lucah


  • Mukmin
  • Khamis, 23 Jun 2022

Tangkap layar sekumpulan rakan memberi hadiah kondom kepada kawan pengantinnya.

ENTAH di mana silapnya, trend sekumpulan rakan memberi hadiah pelik-pelik di atas pelamin kepada rakan mereka yang sudah berkahwin mengundang persepsi berbeza masyarakat.

Bukan saja ada rakan pengantin memberi beras dan peralatan rumah sebagai hadah perkahwinan, tidak kurang juga ada yang bertindak melampau tanpa memikirkan perasaan pasangan pengantin dan keluarga, contohnya tindakan sekumpulan lelaki yang memberikan hadiah tidak senonoh iaitu kondom kepada pasangan mempelai seperti mana yang tular di media sosial baru-baru ini.

Video itu mendapat pelbagai kecaman dari orang ramai sehingga pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun turut tampil membahaskan isu berkenaan yang disifatkannya sangat memalukan buat pengantin tersebut.

Asma Harun berkata, memberi hadiah sebegitu adalah satu jenaka lucah tidak sepatutnya dijadikan budaya kerana ia boleh memberi kesan kepada sesiapa yang melihatnya termasuklah buat pengantin berkenaan.

"Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi bila melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil tutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikitpun rasa malu. Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapapun yang melihat.

"Budaya memberi hadiah di pelamin sekarang menjadi satu trend, namun tak seharusnya diikuti jika tujuan untuk publisiti dan maruah digadai. Berbaloikah?" katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, seorang Muslim seharusnya mempunyai sifat malu kerana ia boleh melindungi daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah seperti takut untuk bermaksiat, sakiti orang lain, melihat perkara haram, mendedahkan aurat dan buat perkara yang menjatuhkan maruah.

Tambahan pula, Asma Harun juga berpendapat, tidak salah jika mahu membahagiakan rakan yang menjadi raja sehari namun apabila sehingga mencemarkan adab di hadapan orang ramai dan dipertontonkan secara terbuka di media sosial ia menjadi perbuatan melampau.

Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia dari kalimah kenabian terdahulu adalah, “Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu.” — (HR Bukhari, hadis sahih)Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Trend hadiah kahwin, Tiktok, Asma Harun,