SEBAGAI seseorang yang hidup dalam keadaan berjiran, hak sesama jiran adalah perkara yang sangat dititikberatkan dalam agama Islam walaupun pada dasarnya kita tidak mengenali individu yang duduk di kawasan perumahan.
Namun kebelakangan ini, ada saja kisah mengenai individu yang menimbulkan kekecohan di kawasan kejiranan sehingga menimbulkan perselisihan faham sesama mereka.
Seperti kejadian di Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai, Melaka, baru-baru ini, seorang pengguna Facebook meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap tindakan jirannya yang sengaja meletakkan tong sampah di hadapan rumah atas tujuan tidak ingin sebarang kereta lalu-lalang di hadapan kediamannnya.
Mengulas isu berkenaan, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, seseorang itu berdosa jika menyakiti perasaan jirannya dan secara tidak langsung telah melanggar adab berjiran dalam Islam.
"Jiran memang ada hak antara sesama mereka seperti jangan menyakiti satu sama lain. Bila lakukan sesuatu yang boleh singgung perasaan jiran itu sudah dikira melanggar adab berjiran.
"Menyakiti seseorang adalah berdosa. Kita ini Islam sesama Islam tidak seharusnya berlaku sebegitu. Kalau kita berjiran ini menaikkan dinding pagar sehingga menyekat laluan udara pun kita menanggung dosa," katanya kepada Majoriti.
Mohamad Shukri berkata, jika berlaku perselisihan faham antara jiran, minta maaf adalah penyelesaiannya dan kembali melakukan adab berjiran dengan betul sesuai dengan apa yang Islam anjurkan.
Malah, Muhammad Shukri juga menegur sikap jiran yang menghalang laluan itu kerana perbuatan tersebut dicegah dalam Islam.
"Dalam Islam ini ada hak jalan raya iaitu laluan yang mana tidak boleh terhalang. Islam jaga benda ini sehinggakan nabi kata orang yang buang duri adalah satu ibadah. Bermaksud supaya tidak menyusahkan orang ataupun bahayakan orang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram