Ketahui hukum berhutang tunaikan haji, umrah


  • Mukmin
  • Khamis, 02 Jun 2022

Syarat-syarat menunaikan haji ialah Islam, baligh, berakal, merdeka, berkemampuan dari sudut harta dan tubuh badan termasuk juga sampainya giliran untuk menunaikan haji.

MUSIM haji kembali lagi dan pastinya setiap umat Islam memasang niat untuk menunaikan rukun Islam kelima itu dalam kehidupan mereka.

Mengerjakan haji menjadi wajib bagi seseorang Muslim apabila cukup syarat-syaratnya iaitu Islam, baligh, berakal, merdeka, sampai giliran untuk menunaikan haji dan termasuklah berkemampuan dari sudut harta serta tubuh badan.

Cuma apabila bercakap mengenai soal kemampuan, ada juga segelintir umat Islam yang mempersoalkan mengenai hukum apabila menggunakan wang pinjaman sama ada daripada bank ataupun daripada individu tertentu untuk menunaikan haji ataupun umrah.

Mengulas isu berkenaan, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus berkata, hukum seseorang Muslim menunaikan haji ataupun umrah secara berhutang adalah dibolehkan berdasarkan pandangan ulama.

Menurut beliau, ulama Sheikh Dr yusuf al-Qaradawi menyatakan beberapa pandangan berkenaan masalah itu iaitu jika seseorang membuat pembiayaan halal yang bukan riba, mampu membayar hutang secara bulanan dan tidak lain tidak bukan semata-mata menunaikan haji, maka ia diharuskan.

"Perkara itu dibolehkan dengan syarat individu yang meminjam itu mampu untuk membayar hutang. Orang yang sudah tahu dia tidak mampu untuk bayar adalah dilarang.

"Berhutang untuk menunaikan ibadat haji adalah tidak sunat. Ulama hanya berkata harus. Sama seperti orang yang berhutang untuk kahwin kerana dia tidak mampu sebenarnya kerana yang wajib hanya untuk yang mampu.

"Kalau dia berhutang jadi mampu pun tidak wajib. Kalau berhutang dikira mampu maka wajib berhutang," katanya menerusi sebuah klip ceramah beliau.

Menurut Azhar Idrus, di negara jiran, Indonesia ramai umat Islam melakukan pinjaman untuk menunaikan haji dan membayarnya setelah pulang dari mengerjakan rukun kelima itu.

"ALLAH kata orang yang mampu bukan untuk orang yang berhutang tapi dengan hartanya sendiri. Cumanya ulama membolehkan kerana ramai yang teringin sangat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pinjaman, haji, umrah, Azhar Idrus, hukum, ulama