HANGAT media sosial kebelakangan ini mengenai video tular memaparkan ritual amalan khurafat yang dipercayai dilakukan di Gunung Jerai, Yan, Kedah melalui aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu.
Amalan khurafat itu dikatakan dilakukan oleh mereka sebagai harapan mengambil berkat para 'wali' dan ada juga berkongsi video sedang mengambil air menggunakan botol plastik di sebuah perigi di gunung itu yang dikatakan mampu menjadi penawar segala penyakit.
Tangkap layar seorang pemuda berkongsi video sedang mengambil air di sebuah perigi di gunung itu.
Mengulas isu berkenaan, Mufti Pahang, Prof Adjung Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman berkata, menggunakan nama 'wali' untuk melakukan amalan sebegitu di Gunung Jerai perlulah disiasat secara mendalam.
"Tiada istilah taksub dengan wali merosakkan masyarakat. Taksub wali bermaksud kita mengikut amal orang soleh. Sebagai contoh kita ikut berdakwah, ajak dakwah orang bukan Islam juga, mengaji, pergi ke masjid dan berakhlak.
"Amalan yang dilakukan di Gunung Jerai itu perlu disiasat. Siasat mengenai telaga itu. Betulkah wali yang buat itu, kalau betul siapa dia wali itu. Kita perlu tahu semua itu.
"Wali ini ialah orang yang mahsyur. Wali pun tidak tahu bawah dia ini wali. Orang nampak amalan ibadah dia. Kalau betul amalan dia mempertahankan agama, kita boleh contohi amalan dia. Taksub buat benda baik bukan dengan benda khurafat kerana kita tidak tahu benda begitu," katanya kepada Majoriti.
Menurut Abd Rahman, ciri-ciri wali ialah orang yang membela agama Islam, menjaga agama, mengajak orang menjadi lebih baik dan menegur jika nampak seseorang yang merosakkan akidah.
Katanya, tiada istilah taksub dengan wali boleh merosakkan masyarakat kerana definisi taksub kepada golongan itu adalah merujuk kepada orang Islam mengikuti amalan soleh yang dilakukan oleh kelompok berkenaan.
"Sebernarnya kita tidak tahu siapa wali, apa yang kita tahu wali ialah orang yang beramal soleh. Wali sendiri tak tahu yang dia tu wali.
"Kalau orang tu kita nampak dia boleh terbang tapi kita kena tengok pula amalannya seperti solat, bercakap baik, mengaji, pergi masjid. Kerana dari amalan itu kita boleh nilai. Kalau setakat nilai jubah atau dari luaran tapi solat tak ke mana itu bukan wali.
"Ciri wali ialah sentiasa membela agama Islam, menjadi orang yang baik. Dia tidak syirik dengan ALLAH. Taksub begitu tidak apa. Jangan taksub dengan wali yang hisap rokok ke apa. Wali sebenar ialah orang yang menjaga agama. Jika orang itu nampak rosak akidah, wali akan tegur. Wali ALLAH adalah orang yang menjaga agama," katanya.
Dalam pada itu, siasatan amalan khurafat yang didakwa dilakukan di Gunung Jerai, dekat Yan, Kedah diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) untuk tindakan lanjut.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu akan dipantau dan diserahkan kepada JHEAIK sama ada bertentangan dengan ajaran Islam ataupun sebaliknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram