DALAM menghitung hari bulan Syawal yang bakal berakhir tidak lama lagi, makin ramai masyarakat memanfaatkan masa ini untuk membuat rumah terbuka dengan menjemput saudara-mara, rakan-rakan serta kenalan.
Segala persiapan akan dilakukan tuan rumah bagi menyediakan hidangan terbaik untuk dinikmati oleh para tetamunya terutama yang sudah lama tidak bersua muka.
Masakan tidak, hampir dua tahun perayaan Syawal tiada tradisi kunjung mengunjung disebabkan pandemik Covid-19.
Namun di sebalik kegembiraan kita mengadakan rumah terbuka atau hadir sebagai jemputan, ada kisah yang kurang enak dikongsikan oleh masyarakat kita pada hari ini.
Sebagai contoh, seorang wanita berkongsi pengalaman 'kena scam; apabila tetamu yang ditunggu-tunggu tidak tiba berkunjung ke rumahya walaupun telah dihubungi.
"Saya menunggu sejak pagi, bangun, memutuskan untuk memakai kanta mata saya, mendandan rambut saya. Memakai kebaya yang cantik, membantu menghidangkan makanan, datang jauh dari Cyberjaya ke Damansara. Saya menjemput rakan-rakan yang dianggap rapat tetapi tiada siapa yang muncul walaupun seorang.
"Ahli keluarga saya menjemput kawan-kawan mereka semuanya datang, tetapi kawan-kawan saya? Apa yang saya lakukan hanyalah duduk di atas sofa dan bermain dengan telefon. Tengok juga jam banyak kali dari 11 pagi sampai 6 petang, seorang pun tidak datang, cek telefon, tak ada yang mesej saya cakap nak datang," luah seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Q7.
Pastinya, bukan wanita itu sahaja berkongsi pengalaman tersebut dan ramai lagi ada meluahkan kekecewaan yang sama kena 'scam' tetamu yang dijemput.
Mengulas isu itu, Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron berkata, apabila seseorang itu menjemput tetamu untuk singgah ke rumah terbuka, tuan rumah perlulah mengambil kira keadaan tetamu yang mana berkemungkinan ada sebab tersendiri tidak dapat singgah beraya.
"Perkara ini sebenarnya kena tengok keadaan. Contoh kalau dia berpuasa, nak pergi macam mana kan? Kalau pergi pun memang tak makanlah. Contoh ada tugas, mesyuarat, kadang-kadang ada benda yang halang kita tak boleh pergi. Semua itu tanggungjawablah. Tengok suasana yang mana jika ada perkara yang lebih mendesak untuk tidak pergi, maka utamakan yang utama.
"Paling penting jika menjemput, kita kena tengok masalah orang lain juga. Jadi maknanya kita boleh jemput tapi tidak boleh wajibkan. Sebenarnya Hari Raya pada 1 Syawal saja, yang lain itu bukan sunah tapi bukanlah tidak boleh untuk menjemput orang berhari raya," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, menjemput tetamu adalah perkara yang elok namun jangan terlalu didesak kerana situasi setiap orang ada berbeza dengan tuntutan lain seperti kerja dan tanggungjawab lain.
"Kita boleh jemput tapi janganlah paksa orang untuk datang. Lagi-lagi sekarang ramai yang buat rumah terbuka mesti tidak mampu untuk pergi semua tempat. Tidak bolehlah paksa dan jemputan pun secara umum tiada kad apa semua.
"Bagi saya kalau nak buat jemputan ada kadar tertentulah, jangan melebih sangat. Jangan jangka orang semua nak datang, buat persiapan apa yang patut. Lagi-lagi lepas pandemik ini kita boleh jangka berapa orang datang," tambahnya.
Malah, bagi Mohamad Sabri Haron orang yang dijemput juga perlulah memberitahu jika tak dapat pergi bagi mengelak sebarang salah faham akan berlaku sehingga boleh merosakkan hubungan silaturrahim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram