BAK ungkapan "anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya", ia cukup jelas membawa maksud anak-anak yang dilahirkan ke dunia ini tidak tahu apa-apa, oleh itu, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk membentuk keperibadian anak-anak mereka.
Dari mendidik hal akademik sehingga ke urusan agama, ibu bapa merupakan individu penting untuk mengajar dan mendidik anak-anak agar terhindar dari pemikiran yang boleh merosakkan mereka terutamanya pada zaman ini remaja semakin terbuka dengan fahaman liberal.
Pendedahan mengenai agama seperti mengajar solat, menutup aurat dan berpuasa seawal umur tujuh tahun amat dituntut dalam Islam seperti apa yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang berbunyi;
“Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka," — (H.R Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi)
Hadis itu cukup jelas bahawa tanggungjawab ibu bapa untuk ajar anak-anak solat dan melaksanakan perkara fardu ain lain adalah sesuatu yang tidak harus dipandang ringan kerana jika berlengah insan yang pada awalnya suci itu akan sering melakukan dosa.
Wadi Anuar menegur supaya ibu bapa membuat persediaan mendidik anak dari kecil.
Sehubungan dengan itu, pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar menegur dan memberi nasihat bahawa lebih elok jika ibu bapa membuat persediaan agar anak-anak ini lembut hati, lebih mudah dipujuk dan senang diajak untuk melakukan perkara fardhu ain seawal usia.
"Umur tujuh masih tak latih. Orang hari ini umur 10 tahun masih pakai skirt lagi. Anak umur sembilan, 10 masih beri pakai seluar pendek lagi yang lelaki. Perkara itu salah kerana pada umur tujuh tahun perlu latih dah tutup aurat. Kalau perempuan beli tudung dah bagi dia pakai.
"Dia cukup 10, 11 tahun dia tidak akan langkah kaki keluar daripada rumah kecuali dia pakai tudung walaupun mak tak suruh. Umur 12 pakai seluar ketat lagi. Sampai umur 45 pakai seluar ketat. Ibu bapa hairan kenapa macam itu kerana dah doa. Tapi tak sedar mereka mula lambat. Nabi dah ajar latih dan didik anak anda untuk solat, puasa dan tutup aurat pada umur tujuh," katanya menerusi sebuah klip ceramahnya.
Malah, bagi Wadi Anuar jika ingin mendidik dan mengajar anak-anak untuk melakukan perkara fardu, penghargaan perlu diberi kepada mereka atas usaha yang telah dilakukan seawal usia masih di setahun jagung
"Kalau nak didik dari awal, contoh berpuasa penuh, jadi pada tanggal 1 Syawal bagi penghargaan, beri duit raya. Dalam Islam tak salah beri penghargaan. Budak akan lebih bersemangat apabila usaha mereka dihargai.
"Tolong jangan mula lambat, pada umur tujuh dah mula pakai pakaian yang sempurna, solat. Walaupun umur tujuh, kita boleh suruh dia solat tepi kita walaupun pelbagai ragam akan dihadapi. Anak ini kalau kita latih dari umur tujuh untuk berpuasa, dia tidak akan tinggalkan puasa. Itu adalah perangai ibu bapa cerdik akhirat," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram