Tempoh lesu usai Ramadan, jangan sampai tinggal amalan wajib


  • Mukmin
  • Khamis, 12 Mei 2022

Ketika jiwa mula lesu, Rasulullah berpesan agar tidak meninggalkan amalan yang fardu dan wajib. — Facebook

BULAN Ramadan telah lebih seminggu meninggalkan umat Islam. Setelah sebulan melakukan ibadah secara konsisten dan penuh tawaduk, manusia tidak lari daripada dibelenggu dengan rasa malas dan lesu.

Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah mengingatkan umatnya bahawa akan ada satu ketika, manusia berasa lemah dan lesu setelah lama mengabdikan diri kepada ALLAH.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, semangat mereka semakin pudar sekalipun telah lama beribadah kepada ALLAH seakan kelesuan yang berlaku setelah Ramadan.

Dalam sabdanya, Rasulullah mengingatkan kita:

"Sesungguhnya setiap amalan ada waktu shirrah (kuat keinginan dan bertenaga), dan setiap waktu shirrah ada waktu fatrah (lemah dan lesu).

"Maka, siapa yang dalam tempoh lesu amalannya itu dia masih kekal dalam sunahku, maka dia berada di atas petunjuk, dan sesiapa yang dalam tempoh lesunya itu mengikut (melakukan) selain (sunah) itu, maka dia akan binasa.” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh al-Arna’ut)

Ahmad Sanusi berkata, dari situ dapat diperhatikan bahawa Rasulullah memahami tabiat jiwa manusia.

"Renungkan kembali bagaimana kesungguhan dan tenaga manusia beribadah dalam bulan Ramadan. Solat sunat dan puasa mereka dilakukan dengan konsisten.

"Namun, setelah berlalunya Ramadan, semangat itu semakin pudar dan kelesuan menyelubungi jiwa," katanya.

Menurutnya, titik kelesuan itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis.

"Lalu Rasulullah berpesan agar kita kekal dalam sunahnya dan jangan melakukan dosa atau maksiat yang bercanggah dengan Islam. Jangan pula seusai Ramadan, manusia kembali kepada maksiat," katanya.

Dalam menghadapi situasi ini, Saidina Ali pernah berpesan:

“Sesungguhnya jiwa manusia ini bersifat bolak-balik (sekejap menghadap ke hadapan, seketika menghadap ke belakang).

"Maka ketika jiwa menghadap ke hadapan (iaitu sedang bertenaga), maka ambillah peluang ini dengan penuh kesungguhan dan beribadah (azimah).

"Namun sekiranya jiwa mula lesu, maka kekal dan kukuhlah atas amalan yang fardu dan wajib (jangan sampai tinggal perkara yang wajib)," katanya.

Begitu juga dari aspek dakwah di mana katanya, ada masa jiwa manusia bersemangat mengajak dan menyeru kepada kebaikan.

Bagaimanapun akan datang satu tempoh (futur) di mana mereka merasa penat dalam perjuangan tersebut.

"Maka tempoh kelesuan ini amalkanlah doa yang pernah dipaterikan oleh ALLAH dalam al-Quran:

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri hidayah petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram