NASKHAH al-Quran dan tafsir ditemukan masih sempurna dalam kebakaran bangunan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Al-Rahmaniah di Kampung Datok, Tapah, Perak pada Jumaat menimbulkan tanda tanya mengenai kejadian aneh itu.
Kesemua 50 naskhah yang ditempatkan di pusat sumber aras satu bangunan itu berada dalam keadaan baik meskipun bilik berkenaan terbakar.
Kejadian sekitar pukul 10.30 malam itu turut mengakibatkan ruang pejabat musnah manakala tandas, bilik mesyuarat dan kelas masing-masing mengalami kerosakan lebih 40 peratus di bahagian bumbung dan tingkap.
Sememangnya, kejadian al-Quran kekal terpelihara selepas munculnya bencana alam seperti kebakaran, banjir dan sebagainya bukanlah perkara baharu.
Pada Disember 2021, tular sebuah rumah berlumpur dan semua barangan rosak disebabkan banjir, namun al-Quran dan bilik solat berada dalam keadaan bersih seolah-olah tidak terusik oleh banjir.
Video itu dikongsikan oleh pendakwah bebas, Asma’ Harun yang tergamam dan menitiskan air mata melihat al-Quran terpelihara sedangkan keadaan rumah kotor akibat banjir.
Asma’ yang menyertai misi menyelamatkan mangsa banjir juga turut menunjukkan beberapa barangan lain langsung tidak basah serta al-Quran kering dan terletak elok di atas rehal.
Dalam video tersebut juga dapat dilihat kesan air banjir di dinding rumah itu yang berada di paras kepala Asma’.
Tampil mengulas mengenai perkara itu, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, al-Quran adakalanya terbakar dan adakalanya tidak terbakar selepas berlakunya kes kemalangan atau bencana alam.
Mohd Yusof berkata, ALLAH SWT melindungi al-Quran setiap masa. — Deenamik
Mufti Negeri Sembilan itu berkata, itu semua adalah kehendak ALLAH SWT untuk meyakinkan hambaNya bahawa Dia Maha Berkuasa melakukan sesuatu menurut kehendakNya.
"ALLAH sentiasa melindungi al-Quran pada setiap masa.
"Seperti mana firman ALLAH SWT dalam surah al-Hijr, ayat 9 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya," katanya kepada Majoriti.
Kitab suci al-Quran diwahyukan oleh malaikat Jibril kepada kekasih ALLAH SWT, iaitu Nabi Muhammad SAW.
Ia diturunkan sebagai tanggungjawab kepada umat terbaik, di sebaik-baik malam Lailatulaqadar pada bulan Ramadan yang merupakan semulia-mulia bulan.
Siapalah kita yang mahu menidakkan kekuasan dan kebesaran ALLAH SWT kerana jika Dia mahu sesuatu itu jadi maka tentu sekali jadilah ia mengikut apa yang dikehendakiNYa. Sebagai umatNya, maka yakinlah kita perkara ini.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram