Guna speaker hanya untuk azan lima waktu


  • Mukmin
  • Sabtu, 19 Feb 2022

USTAZ Firdaus Firabib berkata, masalah itu kebiasaannya berlaku di taman perumahan dan penduduk sekeliling perlu mengambil berat mengenai isu itu. — Gambar hiasan

ISU pembesar suara di masjid menjadi topik perbincangan dalam kalangan warganet Twitter ekoran seorang pengguna Twitter yang membuat ciapan mengenai pembesar suara di sekitar perumahannya.

Pengguna Twitter terbabit, Amira mendakwa, bukan hanya azan tetapi semua aktiviti masjid di kawasan rumahnya memasang pembesar suara dengan kuat sehingga dia merasa terganggu.

"Masjid yang lain sudah berkumandang azan Isyak, tapi masjid ini masih membaca tahlil tanpa henti. Semalam pun sama, ceramah tanpa henti sedangkan masjid lain sudah azan hingga selesai solat Isyak.

"Isunya adalah semua aktiviti tersebut mereka pasang pembesar suara sekuat-kuatnya sehingga saya rasa agak sedikit terganggu. Kalau buat semua aktiviti itu hanya dalam masjid tanpa speaker boleh saja kan," katanya.

Mengulas persoalan itu, pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Fahmi berkata di laman Twitternya, azan lima waktu sahaja merupakan tuntutan utama untuk menggunakan pembesar suara.

Menurutnya, aktiviti lain seperti kuliah, bacaan yasin, tahlil dan Al-Mulk cukup menggunakan pembesar suara dalam masjid tanpa menggunakan pembesar suara luar.

Hujah itu sejajar dengan fatwa Imam Al-Nawawi yang bermaksud:"Bacaan Al-Quran secara kuat di luar solat adalah lebih afdal berbanding membacanya dengan suaa yang perlahan. Kecuali jika bacaan secara kuat itu membawa kepada mafsadah seperti menimbulkan riyak, ujub atau menganggu orang yang sedang solat, atau orang sakit, atau orang yang sedang tidur atau orang yang uzur atau para jemaah yang sedang sibuk melakukan ketaatan atau (melakukan) perkara yang harus hukumnya," [Fatwa Al Imam Al Nawawi (halaman 5)].

Dalam pada itu, bagi Imam Masjid Al Busyra Merbok, Kedah, Ustaz Firdaus Firabib berkata, masalah itu kebiasaannya berlaku di taman perumahan dan penduduk sekeliling perlu mengambil berat mengenai isu itu.

"Kawasan taman perumahan perlu ambil berat soal itu, sepatutnya tidak perlu kuatkan atau terus tutup pembesar suara luar. Supaya tidak mengganggu penduduk yang nak berehat atau ada urusan di rumah atau ada anak kecil

"Risau perkara itu menjadi gangguan kepada penduduk yang berhampiran," katanya kepada Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram