Al-QURAN adalah kitab suci yang diturunkan ALLAH sebagai panduan umat Islam dan kitab suci itu sudah cukup sinonim dalam kehidupan masyarakat Muslim dari dulu hingga kini.
Seringkali Al-Quran dikatakan sebagai ‘pedoman kehidupan’, tetapi sejauh mana kita betul-betul menggunakan dan merujuk Al-Quran sebagai panduan untuk menjalani kehidupan seharian.
Seorang pemikir Islam yang dulunya terkenal di India dan Pakistan iaitu Syeikh Abu A’la Al-Maududi ada membincangkan topik “Perlakuan Kita Terhadap Al-Quran” dalam bukunya yang bertajuk Dasar-Dasar Islam.
Pada perenggan pertama topik tersebut, beliau berkata, umat Islam adalah umat yang paling beruntung kerana mempunyai Al-Quran yang isi kandungannya sama dan tiada perubahan sejak pertama kali diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun begitu, beliau berkata, umat Islam boleh menjadi umat yang paling malang kerana biarpun mempunyai Al-Quran, kerana ada yang tidak memperoleh berkat dan manfaat wahyu itu secara maksima.
"Umat Islam sekarang hanya menggunakan Al-Quran untuk disimpan di rumah untuk mengusir jin-jin dan hantu-hantu.
"Mereka menuliskan ayat-ayat Al-Quran pada lembaran-lembaran kertas lalu menggantungkannya pada leher mereka, atau mencelupkannya ke dalam air dan kemudian meminum airnya, dan mereka membaca ayat-ayat Al-Quran tersebut tanpa memahami ertinya, namun mereka mengharapkan untuk dapat memperoleh sesuatu berkat daripadanya." kata Al-Maududi.
Menurut pandangan beliau, umat Islam kini dilihat tidak lagi mencari petunjuk daripada Al-Quran untuk mengatur masalah kehidupan mereka.
Situasi itu dapat dilihat di Malaysia yang mana segelintir umat Islam menganggap Al-Quran hanya cukup pada tilawah harian, dibaca ketika keadaan genting dan susah, dilekat di dinding dengan mengharap rezeki akan murah, dan dibaca bila pada masa-masa yang spesifik seperti majlis tahlil, perkahwinan dan sebagainya.
Betul, tidak salah berbuat demikian, malah akan mendapat pahala kerana melazimi Al-Quran tetapi perbuatan tersebut tiduk mencukupi.
"Bayangkan jika kita sakit dan berjumpa doktor, doktor akan memberi preskripsi yang menyenaraikan ubat-ubat yang perlu kita ambil. Adalah satu tindakan yang tidak masuk akal jika kita hanya membaca preskripsi itu malah ia dicelupkan ke dalam air dengan harapan penyakit kita akan sembuh.
"Begitu juga dengan Al-Quran, jika kita hanya membaca ayat-ayatnya tanpa memahami dan mengamalkan isi kandungannya, bagaimana kita boleh berharap masalah dalam kehidupan kita akan selesai?" tambah Al-Maududi.
Jika satu ketika dahulu umat Islam adalah satu tamadun yang gagah perkasa di persada dunia, menjadi rujukan seluruh alam seperti pada zaman Khalifah Abbasiyah, semuanya kerana mereka mengamalkan ilmu yang terkandung dalam Al-Quran sepenuhnya.
Oleh itu, marilah sama-sama kita kembali kepada Al-Quran; membaca, mentadabbur, memahami, mempelajari, dan mengamalkan isi Al-Quran supaya kita menjadi umat Islam yang beruntung.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram