HATI dikawal oleh perasaan keliru, resah, dan resah? Itulah lumrah yang berlaku kepada manusia kerana hati merupakan salah satu anggota tubuh badan yang sangat sensitif sehingga jika ada masalah yang menimpa, hati atau jiwa yang akan berasa sedih dan tidak tenang.
Daripada berbagai masalah yang dialami, setelah orang memilih cara tersendiri untuk mencari ketenangan jiwa dan antara aktiviti yang dilakukan ialah seperti bersiar-siar di taman, membaca buku serta pastinya seorang muslim itu akan mencuba untuk mendekatkan dengan ALLAH SWT jika hati dalam kesedihan.
Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Anuar dalam laman Facebooknya berkongsi lima jenis doa yang boleh diamalkan untuk membantu merawat hati yang sedang dilanda kesedihan.
1. Mohon permudahkan
اللهُم لا سهل إِلا ما جعلتهُ سهلا وأنت تجعلُ الحزن إذا شِئت سهلا
Maksud: Ya ALLAH! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu mudah jika Engkau kehendaki dengan kemudahan," (Hadis Riwayat Ibn Hiban, no. 974).
2. Mohon perlindungan dari sifat sedih, lemah, malas, pengecut, bakhil, berhutang dan penindasan
اللهُم إِنِي أعُوذُ بِك مِن الهمِ والحزنِ وأعُوذُ بِك مِن العجزِ والكسلِ وأعُوذُ بِك مِن الجُبنِ والبُخلِ وأعُوذُ بِك مِن غلبةِ الدينِ وقهرِ الرِجالِ
Maksud: “Ya ALLAH, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah, aku berlindung daripada sifat lemah dan malas dan aku berlindung padamu dari sikap pengecut dan bakhil dan aku berlindung dari cengkaman hutang dan penindasan orang,” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 1555).
3. Doa Nabi Yunus AS ketika di dalam perut ikan paus
لا إِلٰه إِلا أنت سُبحانك إِنِي كُنتُ مِن الظالِمِين
Maksud: “Sesungguhnya tiada tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya ALLAH)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri, ” (Surah Al-Anbiya, 21:87).
4. Doa Nabi Musa AS berhadapan Firaun
ربِ اشرح لِي صدرِي ويسِر لِي أمرِي واحلُل عُقدة مِن لِسانِ يفقهُوا قولِ
Maksud: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagikut tugasku, dan lepaskanlah simpulan dari lidahku supaya mereka faham perkataanku,” (Surah Taha, 20:25-28).
5. Doa Nabi Ibrahim AS ketika dicampakkan ke dalam api
حسبُنا اللهُ ونِعم الوكِيلُ
Maksud: “Cukuplah ALLAH menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung, ” (Surah Al-Imran, 3:173).
Wadi Anuar berkata, seseorang manusia itu jangan terlalu bersedih jika ditimpa masalah, namun sentiasalah memandang perkara yang berlaku itu dari sudut yang positif dan fikirkan jalan penyelesaian.
"Cari lah insan-insan yang mampu membantu memberi sokongan, dorongan dan bantuan. Perbanyakkan doa dan berserah segalanya kepada Tuhan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram